Saksi iaitu Bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi hadir bagi perbicaraan kes 1Malaysia Developement Berhad (1MDB) melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 08 OKTOBER 2019

KUALA LUMPUR – Jelas licik apabila ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low disyaki sengaja memilih Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi menjawat jawatan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Lembaga Pelaburan Terengganu Berhad (TIA).

TIA kemudian ditukar nama kepada 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Mahkamah hari ini diberitahu bagaimana Shahrol dilantik oleh Jho Low bagi menerajui 1MDB dengan gaji mencecah sehingga puluhan ribu ringgit walaupun tiada berpengalaman dalam bidang pengumpulan dana (fund raising).

Shahrol yang merupakan saksi ke-9 mengakui tidak berharap untuk mendapat jawatan itu ketika pemeriksaan soal balas pada perbicaraan kes 1MDB yang masuk hari ke18.

Shahrol berkata, Jho Low beria-ia mengajaknya menyertai TIA walaupun menyedari beliau tidak mempunyai pengalaman dalam bidang pengumpulan dana.

“Pelantikan saya dicadangkan oleh Jho Low kemudian dibuat melalui pilihan Ahli Lembaga Pengarah (BOD). Melalui pelantikan itu, saya dipanggil ke istana untuk menghadap Yang di- Pertuan Agong, Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin pada masa itu.

“Sejurus sampai di istana saya terus diperkenalkan kepada Tuanku Mizan dan saya menerima tawaran untuk menyertai TIA kerana mengikut kehendak BOD untuk membangunkan negeri Terengganu.

“Sekiranya saya tidak layak dari beberapa aspek, pastinya orang tidak akan mencadangkan nama saya,” katanya ketika pemeriksaan balas oleh peguam bela, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Collin Lawrence Sequerah.

Bagaimanapun, dakwa Shahrol dirinya juga tidak pernah berkesempatan untuk memberitahu Sultan Mizan bahawa dia tiada pengalaman mengumpul dana.

Dalam pada itu, Shahrol juga bersetuju bahawa bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang dikaitkan dengan penyewelengan dana RM2.3 bilion 1MDB itu sebenarnya tidak mendapat sebarang manfaat daripada jaminan kerajaan untuk terbitan bon bernilai RM5 bilion untuk TIA.

Selain menjawat jawatan Perdana Menteri, Najib juga adalah Menteri Kewangan ketika itu yang terlibat memberi jaminan kerajaan bagi terbitan bon pada 2009. – MalaysiaGazette