UMUM sedia maklum bahawa GST atau juga dikenali sebagai value added tax (VAT) di sesetengah negara telah diamalkan oleh lebih 160 buah negara. Ini merupakan satu sistem
percukaian yang diamalkan oleh majoriti negara di seluruh dunia yang berasaskan cukai penggunaan.
Penulis berpendapat penjenamaan semula GST kepada satu bentuk sistem percukaian yang lebih telus dan cekap dengan menggunakan platform yang sedia ada mampu meningkatkan
hasil kerajaan sekaligus menyokong Wawasan Kemakmuran Bersama yang ingin dicapai menjelang tahun 2030.
Ini kerana, berdasarkan pelaksanaan GST sebelum ini, kerajaan berjaya mengutip hasil sebanyak RM41.2 billion pada tahun 2016 dan meningkat kepada RM44.3 billion pada 2017. Namun, selepas pengenalan semula SST pada 1 September 2018, hasil cukai SST
dianggarkan menyusut sekitar RM22 billion.
Maka, penurunan hasil cukai memberikan tekanan kepada kerajaan dalam melaksanakan pelbagai program pembangunan negara dan memakmurkan ekonomi rakyat. Secara prinsipnya, sistem GST memberikan kelebihan kepada banyak pihak.
Contohnya, pihak pengeluar boleh menerima rebat GST ke atas input yang mereka gunakan, sekali gus membolehkan pengeluar mengeluarkan barangan pada harga yang lebih kompetitif terutama kepada pengeluar barangan eksport.
Menerusi sistem GST kerajaan boleh menjadikannya sebagai sumber maklumat untuk memantau rantaian bekalan untuk tujuan pelaksanaan dasar yang lebih komprehensif bagi
membantu pengeluar meningkatkan daya saing mereka.
Akhir sekali, peningkatan hasil kerajaan mampu memberikan ruang yang lebih besar kepada kerajaan untuk melaksanakan program kebajikan bagi membantu meringankan beban
rakyat.
Antara cadangan yang boleh dipertimbangkan dalam penjenamaan semula cukai GST ini adalah:
1. Mengenakan kadar cukai serendah 3% ke atas semua barangan kecuali barangan asas
seperti makanan dan minuman terpilih, perkhidmatan kesihatan asas dan perumahan.
2. Memastikan proses pengembalian rebat cukai dilakukan dengan telus dan cekap supaya membolehkan pengeluar menggunakan rebat tersebut untuk tujuan modal pusingan
perniagaan mereka dengan lebih cepat.
3. Memastikan kaedah pelaksanaan kutipan GST difahami oleh semua lapisan rakyat melalui kaedah pendidikan dan kesedaran yang bersesuaian supaya maklumat berkaitan GST tidak disalah faham.
4. Mengambil tindakan tegas kepada pengeluar yang mengambil kesempatan mengenakan caj tambahan kepada pengguna.
Penggunaan platform GST yang sedia ada dilihat tidak akan membebankan pihak pengeluar untuk mengembalikan operasi sistem cukai ini. Malah, penulis menjangkakan kerajaan juga
tidak perlu mengeluarkan perbelanjaan besar untuk mengembalikan sistem cukai ini.
Dr Muhammad Daaniyall Abd Rahman, Pensyarah Kanan
Jabatan Ekonomi, Fakulti Ekonomi dan Pengurusan
Universiti Putra Malaysia ([email protected])