Khairil Anuar Aziz

KUALA LUMPUR – MSM Malaysia Holdings Berhad (MSM) pengeluar gula bertapis terkemuka negara menjual tanah pertanian seluas 4,453.92 hektar di Chuping, Perlis bernilai RM156 juta.

Tanah itu dijual kepada F&N Agrivalley Sdn Bhd (dahulu dikenali sebagai Rimba Perkasa Sdn Bhd) yang dimiliki sepenuhnya oleh Fraser & Neave Holdings Bhd (F&N).

Hasil daripada pelupusan akan diguna pakai bagi pembayaran semula pinjaman bank serta untuk tujuan modal kerja MSM dan anak-anak syarikat.

Pelupusan tanah tersebut yang dimiliki oleh anak syarikat MSM iaitu MSM Perlis Sdn Bhd (MSM Perlis) adalah sejajar
dengan pelan Kumpulan ke arah merasionalisasikan aset di samping memberi fokus kepada perniagaan teras.

Ini turut memperkukuhkan lagi kunci kira-kira kumpulan dengan mengurangkan jumlah hutang.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MSM, Datuk Khairil Anuar Aziz berkata, walaupun harga jualan tanah adalah 18% kurang daripada nilai pasaran, Ahli Lembaga Pengarah MSM percaya bahawa pelupusan tersebut akan memberikan kebaikan kepada syarikat.

Ini kerana jumlah hasil daripada tanah tersebut adalah kecil tetapi memerlukan komitmen kewangan yang tidak mampan berikutan kos operasi yang tinggi bagi menguruskan aktiviti perladangan.

Jelasnya, MSM mahu fokus dalam mencipta dan menghasilkan nilai dalam kepakaran teras dan untuk mencapai matlamat tersebut, syarikat akan terus melupuskan aset-aset bukan teras bagi memberikan nilai dan memastikan sumber kewangan dan pengurusan komited dengan perniagaan teras.

Pada masa ini, tanah tersebut digunakan untuk tanaman getah, kelapa sawit dan mangga.

F&N Agrivalley bercadang untuk memanfaatkan tanah tersebut bagi tujuan penternakan lembu tenusu dan lain-lain aktiviti yang berkaitan.
.
Khairil Anuar berkata, proses pelupusan tanah dijalankan secara tender terbuka yang bermula pada Januari 2019. – MalaysiaGazette