KUALA LUMPUR – Pelakon Abby Abadi dan suaminya, Muhammad Faizal Zakaria memohon orang ramai mendoakan kesihatan bayi lelakinya yang kini berada dalam keadaan tenat di Unit Rawatan Intensif Neonatal (NICU) di Hospital Sungai Buloh.
Menerusi Instagramnya, Abby memaklumkan bayi yang baharu dilahirkan awal minggu lalu mengalami masalah pendarahan di bahagian paru-paru.
“Hari ke 9 dan 10 (5 dan 6Oktober 2019) Abah tak sempat menulis, jadi Mama tulislah utk malam ni. Dah masuk 7 hari bulan, hari ke 11 dah sebenarnya umur Baby Danial. Hebat kuat anak Mama Abah.
“Siang tadi, dapat panggilan dari NICU, Hospital Sungai Buloh (HBSB) kata perlukan darah Mama untuk masukkan dalam badan Baby Danial. Namun kami di Lumut, kami dah maklumkan ke pihak NICU sebelum pergi (ke Lumut) dan kami tahu stok darah Mama masih ada lagi. Tapi, mereka (pihak hospital) telefon semula untuk datang ke hospital pada Isnin pagi.
“Petang tadi hospital telefon lagi, bagitahu ada doktor nak jumpa untuk bercakap mengenai Baby Danial (Doktor ramai dan bertukar ganti). Masa tu Mama Abah dah sampai Tapah. Berdebar-debar rasa bila kata nak jumpa doktor masa tu.. Rasa nk terus terbang supaya cepat sampai sebab dah terfikir macam-macam.
“Sampai Sungai Buloh pukul 10:30 malam tadi terus ke NICU… dari jauh nampak dah kaki Danial bergerak-gerak. Ya Allah, bersyukur sangat-sangat! Baby kami masih ada.. Terus kami meluru jenguk Baby Danial, basuh tangan dan terus pegang dia, berlinang air mata,” luah Abby.
Abby menambah dia dan suaminya sudah tahu risiko yang bakal dilalui oleh mereka suami isteri.
“Doktor datang semula untuk jumpa dan tanya sama ada kami tahu atau tidak keadaan baby kami. Pendarahan, paru paru tak kuat bla bla bla.. dan yang terbaru.. Baby Danial sudah 90 peratus bergantung pada mesin untuk bernafas… itu adalah penggunaan maksimum untuk baby seusia Danial. Jadi mmg keadaannya sangat kritikal bla bla blaaa.. Malam ni, doktor minta kami supaya tidak pergi jauh.
“Ya Allah, sayu bila dengar Doktor cakap macam tu… tapi dari awal pun beberapa memang beberapa doktor cakap perkara yang sama, peluang untuk Baby Danial hidup hanya 50/50 sebab bayi lahir dalam keadaan yang sangat tidak bersedia. Beratnya hanya 535 gram dan banyak kemungkinan boleh berlaku,” coretnya.
Abby memberitahu, dia dan suami tidak berhenti meminta pertolongan Allah serta memohon orang ramai mendoakan anak mereka supaya selamat.
“Tapi saya dan suami kuatkan hati dan tak putus berdoa serta berusaha untuk mengharapkan keajaiban dari Allah sebab Allah Maha berkuasa ke atas semua makhlukNYA.
“Tiada apa yang saya harapkan dari sahabat-sahabat di sini, adalah untuk terus mendoakan bayi kami. Hanya doa yang boleh merubah takdirnya. Ikutkan takut nk kongsikan keadaan bayi kami tetapi kalau kami tidak kongsi, tiada siapa tahu dan boleh mendoakan bayi kami nanti,” tulisnya panjang lebar. – MalaysiaGazette