Huzir Mohamed

KUALA LUMPUR – Majoriti daripada 66 individu saksi belum tampil membantu siasatan polis dalam kes kematian anggota bomba, Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Komisioner Datuk Huzir Mohamed berkata, setakat ini, hanya 10 individu dalam kalangan orang awam yang mempunyai maklumat mengenai kejadian tampil memberi keterangan.

Katanya, individu-individu yang gambar mereka disiarkan di media perlu tampil membantu pihaknya.

“Bagaimanapun hanya 10 daripadanya memberi respon dan tampil setakat ini dah sudah diambil keterangan bagi membantu siasatan kami.

“Bakinya (56 lagi individu) belum berhubung dengan kami. Kami menyeru suoaya mereka berhubung dengan pihak polis. Kita beri peluang sekali lagi kepada mereka, kalau tiada dalam tempoh terdekat, kita akan siar gambar mereka yang mana tujuannya adalah untuk mereka tampil bantu siasatan.

“Kita akan menunggu sedikit masa lagi untuk mereka tampil. Jika tidak kita menyiarkan sekali lagi wajah kesemua 56 individu itu dengan harapan mereka tampil ke hadapan membantu polis dalam siasatan ini,” katanya dalam sidang media harian perkembangan terkini siasatan kes Muhammad Adib berkaitan rusuhan di sebuah kuil di Petaling Jaya tahun lepas di sini hari ini.

Tambah Huzir, polis percaya kesemua mereka berada di salah satu daripada tiga lokasi insiden rusuhan iaitu tempat pencerobohan kuil, tempat menyerang kenderaan anggota bomba dan menara M City kumpulan lelaki merusuh.

Dalam pada itu, katanya, semasa inkues di Mahkamah Koroner Shah Alam, seramai 30 orang saksi telah dipanggil mahkamah dan 28 daripadanya merupakan saksi-saksi yang telah dirakam percakapan oleh polis dalam siasatan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kecuali dua orang saksi pakar yang akan dipanggil kemudian iaitu pakar forensik Dr. Shahrom Abd Wahid dan Dr Amir Radzi Ab Ghani.

Katanya, polis sudah pun menerima arahan daripada pejabat Peguam Negara pada 4 Oktober Jumaat lalu untuk meneruskan siasatan dan telah mempunyai temujanji dengan beberapa saksi bagi meneruskan siasatan lanjut.

“Hari ini sudah ada temu janji dengan seorang saksi hari untuk dirakam keterangan manakala dua pakar forensik akan dipanggil nanti,” katanya.

Malah katanya daripada insiden rusuhan di tiga lokasi di USJ 25 Subang Jaya itu, sebanyak 5178 laporan polis diterima di seluruh negara manakala 69 kertas siasatan telah dibuka dan tujuh telah dituduh.

“Manakala 62 kertas siasatan lagi telah dirujuk kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya iaitu 50 daripadanya status Tiada Tindakan Lanjut (NFA) manakala 12 lagi masih dalam tindakan termasuklah melibatkan kertas kematian Adib dibawah 302 Kanun Keseksaan yang sebelum ini disiasat dibawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan ketika Adib tenat di hospital.

“Dalam kes ini, sejumlah 61 saksi telah ditemubual polis bersabit 307 Kanun Keseksaan iaitu saksi-saksi awam yang dikatakan di tempat kejadian iaitu anggota bomba, polis, doktor, jururawat dan lain lain,” katanya.

Berhubung isu yang sering dikaitkan dengan empat suspek yang terlibat dalam kes tangkapan awal di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan enam daripadanya berada ditempat kejadian menyerang kenderaan bomba dan enam lagi ditangkap merusuh di Menara MCity namun kesemua mereka tak terlibat dalam kes 307 KK.

“Manakala empat suspek yang dibebaskan dalam kes kematian Adib sebelum ini adalah disebabkan kekeliruan laporan beberapa media tempatan dengan tajuk berbeza,” kata Huzir lagi.

Polis pada 5 Disember lalu polis masih mengesan 38 lagi individu bagi membantu siasatan berhubung insiden rusuhan pada 26 November lalu sekali gus menjadikan jumlahnya 66 orang dikehendaki bagi membantu siasatan setakat ini.- MalaysiaGazette