Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, pelawaan timbalannya, Datuk Seri Mohamad Hasan untuk menubuhkan kerajaan bersama Pakatan Harapan (PH), UMNO dan Pas tidak pernah dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) parti.

Ahmad Zahid bagaimanapun berkata, cadangan itu hanyalah pendapat peribadi Mohamad Hasan.

“Cadangan Timbalan Presiden UMNO itu merupakan cadangan peribadi dan ianya tidak diputuskan dalam Majlis Tertinggi parti.

“Jadi ianya adalah sesuatu yang pada hemat saya tidak boleh dianggap sebagai satu pendirian rasmi oleh parti sendiri,” katanya kepada media di lobi Parlimen, hari ini.

Pada Isnin lalu, Mohamad berkata, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad boleh menubuhkan sebuah kerajaan baharu dengan kerjasama Barisan Nasional (BN), Pas serta rakan dari Sabah dan Sarawak sekiranya beliau ikhlas mahukan kedudukan Melayu dan Islam dimartabatkan.

Cadangan itu dimuatnaik Mohamad menerusi akaun Facebook miliknya.

Ditanya mengenai perberhentian operasi Utusan Melayu (M) Berhad (UMMB), Ahmad Zahid berkata, UMNO menyerahkan kepada pengurusan baharu syarikat itu untuk menentukan hala tujunya.

Menurut Ahmad Zahid, syarikat tersebut tidak dapat diselamatkan lagi oleh parti itu ekoran pembekuan akuan oleh kerajaan PH.

“Kita serahkan kepada pengurusan baharu dan juga pemilik saham yang baharu untuk menentukan masa hadapan Utusan kerana UMNO sudah tidak lagi memegang saham dalam Utusan,” katanya lagi.

UMMB hari ini menghentikan operasinya selepas berdepan dengan pelbagai masalah kewangan.

Dalam satu memo dalaman yang ditandatangani Pengerusi Eksekutif Utusan, Datuk Abd Aziz Sheikh Fadzir yang diedarkan kepada kakitangan syarikat hari ini, beliau berkata, Lembaga Pengarah Utusan telah pada 7 Oktober 2019 meluluskan cadangan Penggulungan Sukarela Pemiutang (Creditors’ Voluntary Liquidation). – MalaysiaGazette