Pengerusi Gerakan Tuntut Malaysia, A'zlan Abu Bakar dihalang anggota polis ketika cuba memasuki Parlimen semasa mengadakan Demonstrasi Tuntut Kembalikan Subsidi Petrol sempena pembentangan Belanjawan 2019 di hadapan Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 11 OKTOBER 2019

KUALA LUMPUR – Himpunan Tuntut Subsidi Petrol di luar bangunan Parlimen hari ini bertukar kecoh apabila penganjur, Gerakan Tuntut Malaysia (Tuntut) cuba melepasi halangan polis susulan wakil Datuk Seri Anwar Ibrahim gagal bertemu dengan mereka.

Pada mulanya, seorang pegawai polis dari Bukit Aman berjanji untuk berunding dengan pihak keselamatan Parlimen bagi meminta wakil dari pejabat Anwar bertemu mereka untuk menyerahkan memorandum berkenaan subsidi dan janji menurunkan harga petrol.

Bagaimanapun 5 minit yang dijanjikan pegawai polis terbabit gagal dipenuhi, Tuntut yang diketuai pengerusinya, A’zlan Abu Bakar membuat keputusan untuk menghampiri pintu masuk Parlimen untuk menghantar sendiri memorandum tersebut.

Belum pun mereka melepasi halangan polis, sekumpulan mahasiswa yang menyertai himpunan berasingan dalam kalangan mahasiswa dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) bertindak agresif memaksa pihak polis menahan peserta demonstrasi terbabit.

Ketika insiden sama, A’zlan bersama hampir 50 peserta demonstrasi Tuntut Kembalikan Subsidi Petrol turut dihalang dan ditolak oleh beberapa anggota Unit Tempur Ringan (FRU) menggunakan perisai lut sinar.

Sebahagian peserta Gerakan Tuntut Malaysia (TUNTUT) dan mahasiswa dihalang anggota polis ketika cuba memasuki Parlimen semasa mengadakan Demonstrasi Tuntut Kembalikan Subsidi Petrol sempena pembentangan Belanjawan 2019 di hadapan Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 11 OKTOBER 2019

Keadaan kembali reda apabila wakil daripada pejabat Anwar yang hanya dikenali sebagai Ezam tampil berunding hampir 10 minit dengan Tuntut.

A’zlan meminta Ahli Parlimen Port Dickson itu keluar dan menemui mereka di luar bangunan Parlimen, bagaimanapun pegawainya berkata Anwar tidak dapat berbuat demikian kerana bosnya perlu berada dalam Dewan Rakyat bagi pembentangan Belanjawan 2020.

Dalam pada itu, NGO itu menuntut kerahan hari ini mengembalikan semua subsidi petrol kepada rakyat susulan Program Subsidi Petrol (PSP) yang gagal membantu golongan berpendapatan rendah atau B40 di negara ini.

Antara kebimbangan himpunan itu ialah harga petrol akan meningkat dengan tiadanya subsidi, penerima PSP yang layak dikenakan syarat kelayakan yang akhirnya akan mengecualikan mereka dan majoriti anak muda yang bekerja di bandar tidak memenuhi kelayakan penerima subsidi petrol.

Selain itu, dakwanya kerajaan mengaut keuntungan daripada subsidi yang selama ini diberikan kepada rakyat Malaysia, syarikat pengangkutan akan menaikkan harga tambang kerana harga minyak meningkat sekaligus akan menyebabkan harga barangan meningkat. – MalaysiaGazette

3 Komen

  1. Bang non tak nak jumpa rakyat ke. Mcm mna nak jd pm rakyat pun x nak jumpa. Rakyat nak mintak tolong tu. Patut bang jumpa dan bagi penerangan kat rakyat bawah ni. Baru rakyat akan sokong dia jadi pm berjiwa rakyat.

    • Malam ini pakatan menang esok juga minyak akan turun harga RM 1.50. betul lah tu minyak cap kapak harganya yang turut . Khahaha kena kencing lah.

Comments are closed.