Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kerajaan Persekutuan dijangka memberi pinjaman yang dikeluarkan daripada Kumpulan Wang Pembangunan sebanyak RM2.5 bilion pada tahun depan.

Jumlah pinjaman kepada syarikat dianggarkan RM1.9 bilion, kerajaan negeri RM505.5 juta, badan berkanun RM68.8 juta dan organisasi RM24.2 juta.

Kerajaan diangagr menerima bayaran balik pinjaman sebanyak RM766.5 juta pada tahun depan.

Sebanyak RM448 juta daripada kerajaan negeri dengan bayaran balik tertinggi dari Sarawak dan Sabah.

Syarikat pula dijangka membuat bayaran balik berjumlah RM240.3 juta dan selebihnya daripada kerajaan tempatan RM6.9 juta, badan berkanun RM63.9 juta dan organisasi RM7.4 juta.

Baki pada 31 Disember 2018 bagi Pinjaman Boleh Dituntut Persekutuan yang dikeluarkan daripada Kumpulan Wang Pembangunan berjumlah RM43.2 bilion atau 3% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Daripada jumlah ini RM22.4 bilion adalah hutang oleh syarikat dan hutang kerajaan negeri RM15.3 bilion terutama bagi projek bekalan air.

Hutang oleh badan berkanun berjumlah RM5.1 bilion, diikuti kerajaan tempatan dan organisasi lain masing-masing RM0.2 bilion dan koperasi RM6.9 juta.

Pengeluaran pinjaman melalui perbelanjaan pembangunan pada 2019 dianggarkan RM2 bilion dan penerima terdiri daripada syarikat 73.8%, kerajaan negeri 23%, badan berkanun 1.9% dan organisasi lain 1.3%.

Sebanyak RM900.3 juta bayaran balik pinjaman dijangka diterima pada tahun ini dengan kerajaan negeri menjadi pembayar hutang utara dengan anggaran RM598.6 juta.

Sarawak dan Sabah dijangka membayar balik pinjaman tertinggi pada tahun ini.

Manakala RM159.3 juta akan diterima daripada syarikat manakala badan berkanun RM128.8 juta.

Sementara organisasi lain seperti kelab dan persatuan dianggarkan berjumlah RM6.7 juta. – MalaysiaGazette