Datuk Seri Hishammuddin Hussein

KUALA LUMPUR – Setiausahan Agung DAP, Lim Guan Eng disifatkan tidak bertanggungjawab dan tidak menghormati proses undang-undang apabila cuba campur tangan dalam siasatan polis terhadap dua pemimpin DAP yang ditahan kerana disyaki terlibat dengan Hariamu Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).

Bekas Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, proses siasatan sepatutnya tidak disekat untuk mencari kebenaran, apatah lagi ia melibatkan isu keselamatan negara.

“Jadi apa yang dinyatakan oleh pemimpin DAP bahawa ini bukan suatu kesalahan, ini saya rasa tidak bertanggungjawab kerana yang penting mereka harus menghormati agensi berkenaan.

“Mereka mesti menghormati proses siasatan dan mesti biarkan proses siasatan berjalan supaya kita boleh cari kebenaran.

“Ini bukan isu politik, bukan isu kaum tetapi ini menyentuh keselamatan negara, jadi agensi kita mesti dibenarkan menjalankan tugas mereka tanpa rasa takut, bimbang, gusar dan campur tangan lain, selain pertimbangan lain,” katanya ketika ditemui di lobi Parlimen.

Hishamuddin yakin Bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas Bukit Aman mempunyai asas kukuh untuk menjalankan siasatan berdasarkan bukti kukuh.

“Jadi kalau sekiranya mereka membuat keputusan untuk siasat suatu perkara saya cukup yakin mempunyai asas, betul atau tidak kita tidak boleh sekat apa juga siasatan yang mereka nak buat,” katanya.

Terdahulu Guan Eng yakin dua pemimpin DAP yang ditahan semalam tidak bersalah berdasarkan sepanjang pembabitan mereka dalam parti yang mana tidak ada sebarang petunjuk bahawa mereka terbabit dalam kegiatan bertentangan dengan pendirian parti.

Guan Eng berkata, polis telah memberi jaminan bahawa tiada lagi pemimpin DAP yang akan ditahan atas dakwaan terlibat dalam pergerakan LTTE.

Polis semalam menahan tujuh individu termasuk Exco Melaka, G Saminathan dan Ahli Dewan Undangan Seremban Jaya, P Gunasekaran di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma). – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast