Gambar hiasan
IPOH – Seorang nelayan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas 22 pertuduhan mencabul, melakukan persetubuhan dan merakam gambar bogel anak perempuan tirinya berusia 15 tahun, sejak 2016 sehingga bulan lalu.

Bagaimanapun, tertuduh berumur 36 tahun yang berbaju kemeja-t jingga itu hanya mengaku bersalah terhadap enam daripada pertuduhan itu dan mengaku tidak bersalah bagi 16 lagi pertuduhan selepas semua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Norashima Khalid.

Tertuduh mengaku bersalah bagi lima pertuduhan melakukan kekerasan jenayah dengan niat mencabul kehormatan dan satu pertuduhan merakam gambar anak tirinya itu ketika memakai pakaian menggunakan telefon bimbit.

Dia didakwa melakukan kesemua kesalahan itu di sebuah rumah di Sitiawan, Manjung antara April 2016 sehingga 31 Mac 2017 di mana bagi pertuduhan mencabul, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan manakala Seksyen 509 Kanun Keseksaan bagi kesalahan merakam gambar.

Sementara itu, tertuduh mengaku tidak bersalah atas 14 pertuduhan melakukan persetubuhan dan hubungan seks tanpa kerelaan anak tirinya itu serta dua pertuduhan mencabul kehormatan ketika mangsa berusia 12 tahun 10 bulan.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukannya di lokasi sama antara April 2016 sehingga 29 September lalu mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan, 376B(1) Kanun Keseksaan, 377CA Kanun Keseksaan, Seksyen 14(a) dan 14(b) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Naidatul Athirah Azman manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Naidatul Athirah meminta mahkamah agar tidak menawarkan jaminan terhadap tertuduh atas alasan dia tinggal serumah dengan mangsa dan bimbang berlakunya sebarang kejadian tidak diingini terhadap mangsa selain gangguan terhadap saksi-saksi pendakwaan.

Hakim kemudian tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan dia ditahan di lokap sementara menunggu sebutan semula kesemua kes berkenaan pada 15 Okt ini. – MalaysiaGazette