LRT
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Industri Rel Malaysia (MARIC) berharap lebih banyak peluang dan insentif diberikan kepada pemain rel tempatan di dalam menjayakan projek-projek pengangkutan awam berskala mega dalam Belanjawan 2020

Ia seperti projek Laluan Keretapi Pantai Timur (ECRL) serta projek-projek rel perbandaran utama seperti projek Transit Aliran Ringan (LRT) Pulau Pinang, Kuching dan projek Perkhidmatan Transit Rel (RTS) Johor Bahru-Singapura.

Projek pengangkutan awam ini bertujuan meningkatkan kemakmuran ekonomi negara, sekali gus merapatkan jurang perhubungan dan komunikasi nasional perlu memaksimumkan  penggunaan keupayaan dan keberhasilan teknologi tempatan serta kepakaran perkhidmatan.

Industri ini telah meraih rekod kejayaan yang telah terlibat di dalam pembinaan lebih 1,500 kilometer rangkaian keretapi antara bandar, 150 kilometer jalinan rel bandar serta membina dan membaik pulih lebih 1,000 unit stok kereta yang terdiri daripada set kereta elektrik, lokomotif, kereta wagon dan kereta penumpang.

Haniff Ghazali, Setiausaha Kehormat MARIC berkata, bagi merancakkan lagi iklim perniagaan di dalam sektor rel, kerajaan perlu melihat dan mengutamakan industri tempatan yang terdiri daripada syarikat kejuruteraan, pembinaan, perolehan dan pentauliahan (EPCC) utama serta syarikat pengeluar dan pemasang teknologi dan inovasi untuk komponen-komponen rel yang aktif terlibat di dalam penyelenggaraan dan baik pulih (MRO) stok kereta berasaskan teknologi antarabangsa.

Secara tidak langsung, kepakaran yang diperoleh melalui pemindahan teknologi dapat digunapakai untuk menerokai pasaran MRO di pentas Asia Tenggara yang sedang rancak melaksanakan program transformasi rel masing-masing.

“Dianggarkan terdapat lebih daripada 50% komponen tempatan layak dipasang dan digunakan di dalam segmen kejuruteraan sistem bagi projek ECRL dengan anggaran keseluruhan kos sebanyak RM 5 Billion, dimana fokus utama adalah melibatkan pakej komunikasi, elektrifikasi, kerja-kerja trek, sistem kutipan tiket dan pemasangan stok kereta.

“MARIC berharap agar kerajaan melaksanakan program pra-kelayakan untuk kesemua pemain kejuruteraan sistem di Malaysia bagi tujuan menyokong pembinaan projek ECRL yang sedang dilaksanakan oleh kontraktor utamanya iaitu MRL-CCCC.” ujar beliau lagi.

Kumpulan Industri Bagi Teknologi Tinggi Malaysia (MiGHT) yang telah melahirkan MARIC pada 17 April 2017 telah membuka peluang kepada pemain industri tempatan untuk bersatu sebagai satu suara yang memperincikan rancangan jangka panjang MARIC di dalam perniagaan serta mendepani revolusi industri 4.0 yang bakal menyaksikan keberhasilan tempatan dijenamakan secara automasi dan robotik bagi mempertingkatkan kecekapan pengangkutan awam.

Sehubungan itu, MARIC telah bersedia untuk terlibat secara aktif di dalam konsep kerjasama awam-swasta (PPP)  bagi mana-mana pembinaan, rehabilitasi dan baik pulih mana-mana jalinan dan perhubungan rel.

PPP adalah model terbaik bagi kolaborasi bersama-sama kerajaan di dalam merungkai cabaran perbatuan terakhir (last mile connectivity) dan rehabilitasi.

“Saya melihat sistem e-hailing seperti Grab dan seumpamanya sebagai rakan utama perhubungan yang menyumbang untuk rakyat menggunakan pengangkutan awam berasaskan rel.

“Sistem lain seperti Gojek yang berasal dari Jakarta, Republik Indonesia juga mampu menyelesaikan masalah perbatuan terakhir kerana masalah utama kesesakan di bandaraya berlaku apabila penduduknya mengenderai kenderaan sendiri untuk ke destinasi kurang dari 2 kilometer.

“Contohnya dari pejabat untuk ke mesyuarat di pejabat lainnya ataupun untuk makan tengahari di restoran bangunan dihujung jalan,” katanya.

Hanif berkata, cabaran ini perlu ditangani secara bersama dengan pelabur-pelabur yang berminat untuk menyediakan perkhidmatan berkonsepkan mobiliti mikro.

Selain Gojek, Malaysia juga boleh mencuba sewaan skuter elektrik.

Isu berkaitan sensitiviti mengenderai Gojek dan aspek moral perlu dibincangkan secara berasingan kerana tujuan utama adalah merapatkan perhubungan.

“Saya percaya, suatu hari nanti kita akan matang untuk membicarakan isu sebegini, sekali gus mencapai taraf pengangkutan awam untuk semua, tanpa warna dan tanpa status sosial,” tambah Haniff lagi.

Kerajaan wajar memberi insentif untuk projek PPP bagi pengangkutan awam sebegini yang boleh menzahirkan mobiliti perbandaran dan antara bandar yang cekap dan selamat.

MARIC patut diberi peluang bukan sahaja sebagai industri pelaksana malah terlibat bersama-sama didalam perancangan sesebuah pembangunan pengangkutan awam.

Dengan demikian, keupayaan tempatan dapat dipertahankan dan keberhasilan tempatan dapat diperkasakan melalui penggunaan reka bentuk, pemasangan, komponen dan perkhidmatan tempatan.

Insentif patut diberikan kepada penggubalan piawaian rel Malaysia. Industri tempatan boleh menyediakan diri dan menyesuaikan produk mengikut kehendak dan tuntutan piawaian rel kebangsaan yang perlu dikaji dan diberikan nafas baru.

Ini boleh mengelakkan pembaziran terutamanya jika sesebuah komponen itu telah matang di industri lain misalnya dari sektor automotif serta didapati layak digunapakai di sektor rel.

Penjimatan berlaku, malah sesebuah komponen itu juga menjadi lebih kredibel dan mempunyai nilai pasaran eksport yang berganda.

Katanya, piawaian rel kebangsaan patut menjadi panduan kepada kerajaan, agensi pelaksana, pengusaha rel serta industri untuk memperkayakan keberhasilan tempatan dan mengutamakan produk buatan Malaysia. – MalaysiaGazette