Noraini Ahmad
Noraini Ahmad

KUALA LUMPUR – Belanjawan 2020 yang dinanti-nantikan kerana melibatkan perancangan perbelanjaan kerajaan sejak pengenalan Wawasan 2020 pada 1991 lalu, rupa-rupanya perkara biasa sahaja.

Ini kerana tidak ada benda yang baharu dan kerajaan Pakatan Harapan (PH) didakwa hanya meneruskan apa yang telah kerajaan terdahulu laksanakan.

Bagaimanapun, Ketua Wanita UMNO, Datuk Noraini Ahmad mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Pakatan Harapan kerana meneruskan beberapa inisiatif baik yang telah dilaksanakan oleh Barisan Nasional sebelum ini

Beliau mendakwa ada beberapa perkara yang ‘dicedok’ daripada kerajaan Barisan Nasional iaitu peruntukan sebanyak RM500 juta yang diperuntukkan kepada Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP) bagi menjamin kemudahan untuk usahawan wanita.

Selain itu, penyediaan sebanyak 50 peratus geran padanan kerajaan sehingga RM5,000 setiap perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk menerima pakai langkah pendigitalan operasi mereka seperti sistem jualan elektronik dan peruntukan sebanyak RM10 juta kepada MDEC untuk melatih usahawan mikro-digital dan pakar teknologi memanfaatkan e-Pasaran dan platform media sosial untuk menjual produk mereka.

Turut dicedok adalah dana sebanyak RM450 juta diperuntukkan kepada Khazanah Nasional untuk melaksanakan rangsangan digital untuk meningkatkan jumlah rakyat Malaysia, peniaga dan PKS menggunakan e-dompet.

Menurut Noraini, semua ini merupakan inisiatif yang telah pun dilaksanakan oleh kerajaan Barisan Nasional, sekali gus membuktikan bahawa kerajaan Pakatan Harapan hari ini kekeringan idea atau terpaksa menerima hakikat bahawa formula pengurusan ekonomi Kerajaan sebelum ini adalah yang terbaik buat rakyat dan negara.

“Apa pun saya mengucapkan terima kasih kepada kerajaan kerana meneruskan beberapa inisiatif baik yang telah dilaksanakan oleh Barisan Nasional sebelum ini walaupun mungkin tidak mahu mengakuinya. Tak mengapalah, kerana yang penting adalah rakyat mendapat manfaatnya,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Beliau tidak menafikan bahawa inisiatif-inisiatif itu wajar untuk diteruskan, cuma, seharusnya dengan idea yang lebih baru apatah lagi kerajaan baru sahaja memperkenalkan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.

Bagi inisiatif #WanitaKerja bagi menarik kembali lebih ramai wanita ke alam pekerjaan, kerajaan seharusnya bukan sahaja menabur bantuan kewangan tetapi seharusnya dilaksanakan secara holistik iaitu dengan memperkenalkan latihan kepada industri supaya dapat menyediakan suasana kerja yang mesra keluarga.

Noraini yakin jika Barisan Nasional mentadbir Kerajaan, satu perbentangan Belanjawan yang lebih baik dan komprehensif akan dapat diumumkan.

Mengenai peruntukan sebanyak RM20 juta yang dipanjangkan kepada PERKESO dalam program i-Suri, beliau akui ia merupakan satu inisiatif yang baik namun pelaksanaanya harus diperjelaskan secara terperinci.

“Begitu juga dengan sumbangan KWSP sebanyak dua peratus daripada akaun suami. Apakah mekanisme pelaksanaanya? Bagaimana pula dengan mereka yang berpoligami?

“Perkara ini harus dilihat secara terperinci kerana kita tidak mahu ada kaum wanita yang tercicir daripada bantuan dan inisiatif ini. Perlulah kita pastikan belanjawan ini bersifat inklusif yang memberi manfaat kepada semua rakyat, ujarnya. – MalaysiaGazette