KUALA LUMPUR – Kenyataan media oleh Lim Guan Eng berhubung penjualan tanah sebanyak RM4 bilion oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) membuktikan kerajaan dahulu tidak banyak menjual tanah walaupun sering dituduh jual negara oleh Pakatan Harapan (PH).
Datuk Seri Najib Razak menyifatkan kenyataan Menteri Kewangan itu menjawab satu lagi propaganda menipu PH sebelum PRU14.
Senarai itu membabitkan 16 penjualan tanah kerajaan BN dari tahun 2010 hingga 2017.
Bekas Perdana Menteri itu mendakwa kenyataan oleh Guan Eng itu merupakan satu tuduhan bahawa BN telah jual 180 ekar tanah kerajaan dengan nilai jualan RM4.4 bilion dalam tempoh 8 tahun.
Atau purata penjualan RM550 juta setahun dan juga purata 22.5 ekar tanah dijual setiap tahun oleh kerajaan BN.
Soal Najib: “16 penjualan dalam masa 8 tahun dan purata penjualan 22.5 ekar setahun ini kira banyak ke?,” katanya.
Sedangkan, katanya, tanah TRX dan Bandar Malaysia tidak ada dalam senarai berkenaan kerana TRX dan Bandar Malaysia dijual kepada 1MDB yang 100% milik kerajaan.
Dakwa Najib lagi, Guan Eng juga tidak sampai begitu kurang cerdik untuk tuduh kerajaan jual kepada kerajaan, bermaksud kerajaan sudah jual tanah kepada pihak swasta.
Bagaimanapun, Najib berkata, cuba bandingkan dengan rekod Guan Eng jual tanah kerajaan semasa beliau Ketua Menteri Pulau Pinang.
Beribu-ribu tanah dan hak tanah kerajaan Pulau Pinang sudah dijual oleh Guan Eng masa itu, katanya.
Menurut Najib, Guan Eng tuduh bahawa kerajaan BN jual tanah melalui rundingan terus dan tindakan ini salah.
Tetapi pada masa sama, dalam senarai tanah yang dijual Guan Eng iaitu sebidang tanah di Peel Avenue yang dijual dengan harga RM156 juta juga secara rundingan terus.
“Mula-mula dia (Guan Eng) tak nak jawab tapi selepas kantoi teruk, dia pertahankan penjualan ini dengan alasan kerana masa terdesak dan penjualan tanah melalui rundingan terus tidak salah kerana ianya boleh merancakkan ekonomi,” katanya.
Menurut Najib, penjualan tanah secara rundingan terus oleh BN kerana kebanyakannya adalah projek PPP untuk matlamat pembangunan spesifik. – MalaysiaGazette