Lim Guan Eng

KUALA LUMPUR- Cadangan kerajaan untuk menurunkan nilai ambang kondominium berharga RM1 juta kepada RM600,000 telah disalahertikan.

Menurut Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, kerajaan mengemukakan cadangan sedemikian semasa pembentangan Belanjawan 2020 adalah untuk mengurangkan lambakan kondominium dan pangsapuri tidak terjual bernilai RM8.3 bilion setakat suku tahun 2019.

“Unit sedia ada yang tidak terjual merupakan kediaman yang tidak menarik pembeli tempatan.

“Sehubungan itu, kelonggaran mengurangkan nilai ambang untuk pemilikan asing bagi hartanah tersebut tidak akan menidakkan hak pembeli tempatan.

“Pembeli tempatan tidak dinafikan hak mereka kerana sekiranya mereka hendak beli, mereka boleh beli sekarang dan ia tidak akan kekal sebagai unit tidak terjual,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambah Guan Eng, sekiranya unit-unit tersebut dijual, secara tidak langsung ia akan memberi impak limpahan ekonomi kepada negara.

Kementerian Kewangan katanya, akan terus memantau pelaksanaan kelonggaran tersebut bagi memastikan objektifnya tercapai.

Semasa pembentangan Belanjawan 2020 Jumaat lalu mencadangkan nilai ambang penjualan kondominium dan pangsapuri kepada warga asing berjumlah RM1 juta ketika ini diturunkan kepada RM600,000.

Penurunan nilai ambang itu hanya tertakluk kepada hartanah yang telah siap dan bukannya projek baharu. -MalaysiaGazette