Sebahagian bungkusan serbuk berwarna putih dan 123 keping matawang asing yang dipercayai palsu pada sidang media mengenai kejayaan melumpuhkan kegiatan pengedaran dadah oleh warga tempatan dan kes penipuan wang palsu (black money) melibatkan matawang asing di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur. foto NOOREEZA HASHIM, 14 OKTOBER 2019

KUALA LUMPUR – Belum sempat untuk mencari dan memerangkap mangsa pertama bagi memulakan operasi penipuan mata wang palsu, niat jahat sepasang kekasih warga Nigeria berputih mata mencari kekayaan secara haram dihidu polis.

Bertindak atas risikan dan maklumat oraang ramai kedua dua suspek yang berusia 37 dan 36 tahun itu berjaya ditahan dalam satu serbuan di sebuah premis di Jalan Riang Ria, Taman Gembira di ibu pada Selasa lalu.

Kedua dua suspek merupakan bekas pelajar yang telah menamatkan pengajian di negara ini. Mereka memasuki negara ini dengan menggunakan visa pelajar.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Komisioner Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, hasil serbuan polis Bahagian Komersial Ibu Pejabat Kontijen (IPK) Kuala Lumpur menjumpai sebuah baldi yang mengandungi peralatan yang digunakan untuk memperdaya mangsa mengenai ‘Black Money’.

“Di antara peralatan dan bahan kimia yang dirampas adalah sebotol cecair kimia dipercayai digunakan untuk mencuci wang palsu, sebungkus serbuk putih dan 123 keping mata wang kertas asing disyaki palsu.

“Kedua dua suspek pula didapati tidak bekerja dan mengakui mereka dalam proses memerangkap mangsa pertama untuk aktiviti tersebut sebelum berjaya dihidu dan dipatahkan polis,” katanya pada sidang media mengenai kejayaan unit Narkotik dan Komersial.

Tambah Mazlan, pasangan itu direman bermula 9 Rabu lalu hingg 25 Oktober ini untuk disiasat mengikut Seksyen 420/511 Kanun Keseksaan atas kesalahan cubaan melakukan penipuan yang boleh dihukum penjara minimum setahun dan maksimum 10 tahun dengan sebatan dan denda.

Katanya, kes itu turut disiasat mengikut Seksyen 489 C Kanun Keseksaan iaitu kesalahan memiliki mata wang kertas yang telah dibuat dengan jalan pemalsuan atau pelencongan dan boleh dihukum dengan penjara maksimum 10 tahun.

“Setakat ini belum ada mangsa tertipu kepada pasangan Nigeria itu dan kita berjaya menghidu dan mematahkan sindiket mereka sebelum memerangkap mangsa mereka.

“Orang ramai dinasihatkan supaya membuat urusan pertukaran mata wang di institusi kewangan atau pengurup wang berlesen dan tidak mudah terpedaya dengan helah sindiket yang menawarkan keuntungan berlipat ganda,” – MalaysiaGazette.

1 Komen

Comments are closed.