KUALA LUMPUR – Jangan jadikan bajet sebagai peluang memulihkan sokongan rakyat yang telah menjunam untuk kerajaan Pakatan Harapan (PH).
Setiap bajet perlu menyelesaikan masalah bukan mengorbankan masa depan rakyat dan negara, kata Datuk Seri Najib Razak .
“Janganlah jual semua aset yang memberi pulangan jangkamasa panjang sampai bersih licin.
“Janganlah tinggalkan hutang negara dengan begitu pantas sekali berbanding masa BN. Janganlah tinggalkan beban yang tidak boleh diselesaikan oleh kerajaan masa hadapan. Janganlah mengamalkan dasar-dasar populis yang tidak menguntungkan,” katanya.
Bekas perdana menteri dan Ahli Parlimen Pekan berkata demikian ketika membahasakan Belanjawan 2020 di Parlimen hari ini.
Terdahulu, Najib mendakwa kerajaan telah melakukan kesilapan dengan membuat andaian pertumbuhan ekonomi untuk tahun 2020 pada kadar 4.8 peratus.
“Rata-rata penganalisis ekonomi, syarikat penarafan kredit antarabangsa, bank dunia dan IMF memberi unjuran yang lebih rendah pada purata 4.3 peratus.
“Tiada mana-mana pihak lain yang menyatakan bahawa kadar pertumbuhan tahun depan lebih tinggi pada tahun ini. Hanya kerajaan PH satu-satunya sahaja yang menyatakan sedemikian.
“Patutkah kerajaan menggunakan kadar 4.8 peratus? Adakah defisit negara akan menjadi lebih jauh berbanding apa yang diunjurkan untuk tahun depan iaitu 3.2 peratus jika andaian ini salah lagi dan hasil kerajaan terjejas?” soal Najib lagi.
Mengenai defisit negara, bekas menteri kewangan itu berkata, pada tahun lepas, kerajaan PH memberi panduan bahawa defisit tahun 2020 adalah tiga peratus tetapi sasaran awal ini telah terjejas menjadi 3.2 peratus.
“Perlu ingat bahawa setelah kerajaan BN naikkan defisit negara dan meminjam pada tahun 2009 untuk menyelematkan ekonomi negara dari krisis ekonomi dunia, dengan izin, the great global recession, kita telah mengaturkan rancangan untuk mengurangkan bajet defisit sehingga kita mensasarkan bajet seimbang ataupun balanced budget pada tahun 2020.
Dengan melaksanakan langkah-langkah fiskal yang berdisplin dan berhemah, defisit negara turun lapan tahun berturut-turut sehingga PH mengambil alih kerajaan pada PRU-14.
Selepas itu, kerajaan PH menaikkan pula defisit negara, katanya.
“Di bawah rancangan BN, defisit untuk tahun 2018 adalah 2.8 peratus, tahun 2019 ialah 2 peratus dan tahun 2020 adalah 0.6 peratus.
“Tetapi kini menjadi 3.7 peratus, 3.4 peratus dan 3.2 peratus masing-masing. Nampak gayanya, defisit negara akan tetap tinggi di bawah PH.
“Oleh itu, di manakah rancangan PH untuk mengurangkan hutang negara?” soalnya.
Pada tahun 2018, katanya, defisit kerajaan ialah RM54.2 bilion, tahun 2019 ini ianya diunjur pada RM52.4 bilion dan defisit 3.2 peratus untuk tahun depan bersamaan dengan defisit RM52.5 bilion.
“Ini bermaksud hutang negara akan naik menjadi RM850 bilion tahun depan dan jika defisit kerajaan PH diteruskan untuk tiga tahun lagi iaitu pada kadar lebih RM50 bilion setiap tahun maka hutang langsung negara akan benar-benar mencapai misi PH untuk mencecah RM1 trilion pada tahun 2023 iaitu habisnya penggal pentadbiran PH ini.
“Malah, bukan hanya hutang negara naik tetapi nisbah hutang juga naik dari 48.7 peratus pada suku pertama tahun 2018 sebelum PRU14 dan pada bulan Jun lalu sudah naik ke 52.7 peratus dan diunjurkan akan naik lagi tahun depan kerana defisit yang tinggi,” katanya.
Perlu diingat bahawa kerajaan meletakkan had 55 peratus untuk nisbah hutang dan kerajaan tidak akan dibenarkan untuk meminjam jika sudah mencecah had itu, katanya.
“Ini menunjukkan ruang untuk kerajaan melakukan pakej ransangan ekonomi jika negara dilanda krisis ekonomi adalah sangat terhad.
“Itulah kebimbangan saya jika defisit negara tidak turun.
“Tambahan pula ialah saya tengok bajet ini tidak mempunyai impak yang besar untuk menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi tahun depan,” jelasnya.
Selain itu Najib menyentih isu pasaran saham jatuh 350 mata dari hampir 1,900 mata sebelum PRU-14.
Akibat itu, nilai sebanyak RM300 bilion didakwa lesap dari Malaysia.
“Kita paling corot dalam dunia. Jauh dibelakang negara-negara jiran. Malah pasaran saham negara-negara seperti Zimbabwe dan Venezuela pun lagi baik dari Malaysia pada tahun 2019.
“Dividen yang paling rendah dalam sejarah seperti Hibah 1.25 peratus, LTAT 2 peratus, ASB dan sebagainya akibat pasaran saham paling corot dalam dunia juga memberi impak kepada pendapatan Rakyat untuk tahun depan.
“Jika rakyat tidak ada wang dalam poket, mereka tidak akan belanja,” katanya.
Mengenai aset Khazanah, Najib mempertikaikan apa logik menjualnya jika ia hanya memberi pulangan 15 peratus kenaikan nilai setiap tahun sejak tahun 2008 untuk membayar hutang pada kadar tahunan 3.5 peratus.
“Analogi rumah sewa memberi pulangan sebanyak 15 peratus, bayar hutang 3.5 peratus. Jika kita jual rumah itu, apa yang anak-anak kita nak makan?
“Bila aset negara yang memberi pulangan yang baik tidak ada lagi pada masa depan, di manakah kerajaan masa depan akan cari hasil tanpa meminjam dengan lagi banyak?” soalnya.
Kerajaan PH, katanya, sepatutnya pandai mencari pendapatan dengan membina aset yang menguntungkan.- MalaysiaGazette