KUALA LUMPUR – Malaysia akan meneroka peluang untuk meningkatkan import gula mentah dari India pada tahun 2020.
Selain itu, syarikat-syarikat tempatan juga digalakkan untuk mengimport lebih banyak produk dari India dengan memanfaatkan Perjanjian Kerjasama Ekonomi Komprehensif Malaysia-India (MICECA).
Menteri Industri Utama, Teresa Kok berkata, Malaysia juga sedang mengkaji prospek untuk mengimport lebih banyak daging kerbau dari India selaras dengan peningkatan permintaan pasaran tempatan.
Ia merupakan komitmen Malaysia dalam merapatkan jurang perdagangan dengan India, yang dicapai dalam mesyuarat yang diadakan pada 14 Oktober lalu.
Teresa berkata, langkah ini dibuat dengan mengambil kira kepentingan India sebagai pasaran eksport ketiga terbesar pada tahun 2018 bagi minyak sawit dan produk berasaskan sawit dengan nilai eksport sebanyak RM6.84 bilion.
Jumlah itu menyumbang 10.1 peratus kepada jumlah keseluruhan eksport minyak sawit dan produk berasaskan sawit negara yang jelas menunjukkan betapa pentingnya pasaran India kepada Malaysia.
Teresa mengambil perhatian terhadap berita-berita semasa mengenai isu-isu yang menggugat hubungan baik antara Malaysia dan India, yang telah lama terjalin dan memberi manfaat kepada rakyat kedua-dua negara sejak enam dekad yang lalu. – MalaysiaGazette