KUALA LUMPUR – Saksi ke-9 perbicaraan 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi kelihatan senada dengan saksi terdahulu tentang peranan licik yang dimainkan oleh ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low.

Shahrol yang memberikan keterangan sejak dua minggu lepas merupakan bekas Ketua Eksekutif 1MDB mengakui ada kemungkinan Datuk Seri Najib Tun Razak sendiri tidak tahu apa yang dilakukan oleh Jho Low ketika itu.

Selain daripada itu, Shahrol juga senada dengan saksi terdahulu, Datuk Amhari Efendi Nazaruddin yang mendakwa Jho Low adalah ‘master manipulator’ dalam penyewelengan dana 1MDB bernilai RM2.3 bilion itu.

Malah kata Shahrol, dirinya sendiri merupakan salah satu ‘pemain’ dalam permainan yang pengarah atau konduktor adalah Jho Low sendiri.

Shahrol memberikan perumpamaan sebuah okestra muzik di mana konduktornya adalah Jho Low dan rata-rata pemain muzik seperti dirinya tidak tahu tentang peranan masing-masing.

“Beginilah, apa yang jelas pada saya ialah Jho Low ibarat seorang konduktor sebuah orkestra dengan pemain yang berbeza memainkan peranan mereka tanpa perlu tahu apa yang dilakukan pemain lain untuk menghasilkan keputusan tertentu.

“Saya juga salah seorang daripada pemain muzik itu,” katanya di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah sebentar tadi.

Shahrol berkata demikian ketika pemeriksaan balas oleh peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah seandainya dia bersetuju dengan Amhari bahawa Jho Low adalah ‘master manipulator’ dan bukannya Najib.

Ketika disoal sekali lagi seandainya dia bersetuju bahawa Najib sendiri tidak pasti dengan peranan yang dimainkan oleh Jho Low, Shahrol bersetuju dengan andaian tersebut.

Shafee: Adakah kamu bersetuju dengan saya bahawa Jho Low yang banyak mengatur semua ini tanpa pengetahuan Perdana Menteri?

Shahrol: Daripada gaya dan apa yang saya lihat, rasanya begitulah.

Perbicaraan sedang berjalan ketika ini. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

3 Komen

Comments are closed.