Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin (tiga kanan) diiringi Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara, Datuk Ruslin Jusoh (dua kanan), Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Tan Sri Alwi Ibrahim (tiga kiri) dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador (dua kiri) bergambar bersama penerima anugerah pada Sambutan Hari Pendaftaran Negara di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK, 16 OKTOBER 2019

PUTRAJAYA – Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) merekodkan  1,429,196 penduduk Malaysia yang masih tidak mempunyai kad pengenalan atau MyKad sehingga kini.

Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pendedahan itu adalah hasil daripada program Menyemai Kasih Rakyat (MEKAR) yang dijalankan setakat 15 September lalu.

“Mengikut statistik rekod JPN melalui MEKAR, kita ada 1,150 program, kita telah terima 11,427 permohonan dan kita telah memberikan 10,118 khidmat nasihat JPN.

“Ini statistik rekod penduduk warga negara Malaysia yang belum memiliki kad pengenalan.

“Hasil dapatan program itu mendapati umur 13 hingga 17 tahun ada 45,588 permohonan, umur 18 hingga 80 tahun pula ada 970,377 permohonan.

“Umur 81 hingga 90 tahun juga tiada kad pengenalan berjumlah 110,537 permohonan manakala 91 tahun dan ke atas adalah 302,694 orang,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Muhyiddin juga berkata, banyak faktor dan sebab tertentu menyebabkan mereka terbabit masih tiada kad pengenalan termasuk tinggal di pedalaman, kurang kesedaran dan tiada pengetahuan.

“Banyak sebab mungkin kerana terpencil, termasuk di Sabah, Sarawak pedalaman, orang asli atau bapa mereka tidak berapa arif atau sebab-sebab lain.

“Walaupun usia sudah 10 tahun, yang muda satu hal, yang tua pun tiada kad pengenalan, saya tak tahu macam mana mereka boleh hidup kalau tak ada kad pengenalan.

“Sedangkan kita mempunyai JPN cawangannya beratus di seluruh negara,” katanya.

Katanya, sehingga kini, JPN juga telah mencatatkan lebih 22.9 juta pemegang kad pengenalan MyKad yang sah.

“Analisa maklumat pemegang MyKad yang tidak dikemaskini, jumlah pemegang MyKad ini sekarang semuanya berjumlah 22,965,443 orang,” katanya.

Beliau turut berkata, menerusi pembekalan tiga bas Mobile Ekspress pada 2020 yang dilengkapi dengan kemudahan mencetak kad pengenalan di lokasi mampu mengurangkan isu warga negara tanpa MyKad.

“Terkini ada bas mobile ini semua boleh membantu untuk membolehkan mereka yang tiada kad pengenalan daripada JPN untuk mendapatkannya daripada perkhidmatan yang disediakan,” katanya.

Sementara itu, Muhyiddin berkata, Program MEKAR itu sebagai persediaan awal bagi pendaftaran pemilih secara automatik bagi umur 18 tahun ke atas menjelang 1 Julai 2020.

“Ini adalah peranan JPN dalam mengemaskini dan menyelaras pemilih secara automatik dapat dilakukan secara teratur.

“Saya berharap pihak SPR dan JPN mengadakan kempen besar-besaran terutama berkaitan dengan pengemaskinian atau pindaan alamat kepada warganegara yang telah bertukar tempat bermastautin,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast