Takiyuddin Hassan

KUALA LUMPUR – Kerajaan Kelantan berhak memfailkan saman tuntutan royalti minyak kali kedua terhadap Petronas sekiranya kemelut itu gagal diselesaikan.

Kata Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Takiyuddin Hassan, kerajaan negeri itu hanya perlu memfailkan saman baharu seperti yang sebelum ini dan dilakukan mengikut prosedur.

“Boleh saman sebab ada kesinambungan, masih boleh (saman) walaupun sudah pernah tarik balik,” katanya ketika ditemui di lobi Parlimen hari ini.

Takiyuddin selain itu menggesa Petronas mendedahkan data penggunaan telaga untuk mendapatkan minyak di negeri itu supaya perkiraan berkenaan jumlah bayaran penuh yang sepatutnya diterima oleh Kelantan dapat diketahui.

Pada 21 Mei lalu,  Kelantan menarik balik saman terhadap Petronas selepas memfailkannya pada 30 Ogos 2010.

Dalam sidang media bersama Ahli Parlimen Pasir Puteh, Datuk Dr. Nik Muhammad Zawawi Salleh pula menganggap kegagalan kerajaan persekutuan menamatkan kemelut berhubung pembayaran royalti  sebagai suatu perlakuan jenayah .

Ini kerana, jelasnya, pada akhirnya situasi kerajaan negeri tidak akan dapat menunaikan tanggungjawab membantu penduduk Kelantan yang majoritinya dikategorikan miskin.

“Pembayaran royalti Kelantan, Terengganu, Sabah dan Sarawak merupakan tanggungjawab yang membabitkan rakyat, seramai mana rakyat yang ada di Kelantan dan negeri-negeri lain yang miskin itu adalah satu jenayah yang dilakukan kerajaan persekutuan kalau mereka tidak menjelaskan bayaran royalti.

“Dan perkara ini adalah perkara yang membabitkan keagamaan, kerajaan persekutuan dan pemimpin-pemimpinnya mesti bertanggungjawab di hadapan Allah SWT apabila mereka menyekat hak seorang yang lain,” katanya.

Ahli Parlimen Rantau Panjang, Siti Zaliah Mohd Yusoff  pula menggesa agar kerajaan persekutuan membuat pembayaran hanya lima daripada 20 peratus yang dijanjikan sebelum ini sebagai permulaan.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng sebelum itu dilaporkan berkata, bayaran royalti minyak telah dibuat pada bulan lepas atas arahan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Namun Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob memaklumkan Kelantan hanya menerima wang ehsan pada 17 September lalu dan ia bukannya royalti. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast