Khairy Jamaluddin Abu Bakar

KUALA LUMPUR – Khairy Jamaluddin Abu Bakar menerajui kedudukan dalam persaingan pemimpin pembangkang paling popular dan dipercayai dalam Tinjauan Strategi Komunikasi Parti Pembangkang 2019.

Tinjauan itu dilakukan oleh Citrine One Sdn Bhd dengan kerjasama CALLMARK Solution Sdn Bhd, agensi telepemasaran dan pemasaran digital yang dijalankan dari 13 September hingga 3 Oktober lalu membabitkan 1,115 responden seluruh negara.

Sebanyak 80% daripada 1,115 responden mengundi Khairy atau lebih dikenali sebagai KJ untuk skala populariti.

Responden juga menyatakan beliau sebagai pemimpin pembangkang yang paling dipercayai dalam soalan terbuka dengan 170 daripada 357 responden yang menjawab.

“Populariti dan kepercayaan ke atas KJ memberi isyarat bahawa penguasaan undi paling popular dalam kalangan ketua-ketua parti semakin berakhir.

“Perkembangan ini menunjukkan pengundian dibuat berdasarkan vokal dan kejelasan pemikiran pemimpin semasa berkomunikasi dan konsisten dengan pengucapan mereka.

“Lebih-lebih lagi, sepanjang tempoh tinjauan yang dijalankan KJ benar-benar diam selepas pelantikan Datuk Seri Najib Razak sebagai Penasihat UMNO, “kata Ivlynn Yap, Rakan Kongsi Urusan dan Penasihat Komunikasi Crisis Citrine One Sdn Bhd.

Kemajuan ini adalah baik kerana ia memberi isyarat bahawa senario politik negara kini menuju ke arah pengundian  berdasarkan keupayaan calon ketika berkomunikasi dan berdebat dengan penjelasan dan sokongan fakta dan angka.

Jadi, Pilihan Raya Kecil Parlimen Tanjung Piai bakal menjadi petunjuk yang baik untuk melihat sama ada pengundian berdasarkan calon dan bukan lagi parti bakal menjadi kenyataan, katanya.

Najib pula berada jauh daripada kedudukan KJ tapi pada kedudukan kedua dalam senarai tersebut dengan memperoleh 64% undi untuk pemimpin pembangkang yang paling dipercayai.

Ini menunjukkan Najib masih terdapat sokongan yang cukup besar daripada orang ramai kerana kebanyakan responden dari  Kuala Lumpur dan Selangor .

Tempat ketiga pula Datuk Seri Abdul Hadi Awang dengan 52% undi.

Pemimpin lain yang mendapat undi ialah Datuk Seri Mohamad Hassan (49%) ; Datuk Seri Ir. Dr. Wee Ka Siong (49%) ; Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz ( 47%) ; Datuk Patinggi Abang Abdul Rahman Johari Abang Haji Openg (43%); dan Datuk Dr. Dominic Lau (36%).

Dalam tinjauan itu, responden memilih pemimpin pembangkang paling popular berdasarkan vokal (33%), penjelasan ketika berkomunikasi (17%) dan konsisten dalam pengucapan (14%).

Aspek kepercayaan dan kejujuran paling sedikit diundi, masing-masing dengan 8% dan 5%, menunjukkan pemimpin-pemimpin pembangkang perlu menambah baik dalam kredibiliti berkomunikasi.

Tinjauan itu juga mendapati Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) masih merupakan parti pembangkang yang paling popular di Malaysia dengan 69% responden dan Parti Islam SeMalaysia (Pas) berada pada tempat kedua dengan 55%.

Menariknya, MCA muncul di tempat ketiga tertinggi dengan 52%, menunjukkan parti ini masih aktif dalam senario politik Malaysia terutama ketika Barisan Nasional dalam pertimbangan untuk meletakkan calon dalam pilihan raya kecil Tanjung Piai yang akan datang. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast