KUALA LUMPUR – Rakyat Malaysia yang berpendapatan kasar tahunan sehingga RM100,000 layakk menerima bayaran kritikal sebanyak RM4,000 dan bayaran penggantian pendapatan RM50 sehari atau RM700 setiap tahun untuk tempoh maksimum 14 hari di hospital kerajaan.
Ia merupakan sebahagian daripada perluasan Skim mySalam di bawah Belanjawan 2020 dan berkuatkuasa 1 Januari tahun depan.
Selain itu, di bawah peluasan skim kesihatan itu, ia turut memberi perlindungan kepada 45 jenis penyakit berbanding 36 penyakit sebelum ini.
Manakala, kelayakan umur untuk menjadi penerima perlindungan Skim mySalam dinaikkan dari 55 tahun kepada 65 tahun.
Menurut lembaran fakta Skim mySalam, individu bujang yang berumur 40 tahun ke atas dan OKU juga secara automatik menjadi penerima skim ini secara percuma.
Sebelum ini, dari 1 Januari 2019 hingga 31 Disember 2019, skim ini hanya melindungi penerima Bantuan Sara Hidup serta pasangan berumur 18 hingga 55 tahun dan bantuan RM8,000 sekiranya disahkan mengidap 36 penyakit kritikal.
Semasa pembentangan Belanjawan 2020 pada minggu lalu, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, perluasan Skim mySalam itu dijangka dapat memberi manfaat kepada 5 juta individu. – MalaysiaGazette