Johari Abdul Ghani

KUALA LUMPUR – Sebenarnya tiada keperluan untuk kerajaan menurunkan nilai ambang kediaman mewah berharga RM1 juta yang didakwa tidak laku kepada RM600,000 tetapi kemudian membuka pembelian kepada warga asing.

Ini kerana, jika diskaun harga kediaman mewah itu diturunkan sehingga 40 peratus, pastinya mampu dibeli oleh rakyat tempatan.

Bekas Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, logiknya jika 80 peratus sudah dibeli dan hanya 20 peratus sahaja yang tidak laku, tidak ada sebab untuk ‘melelongnya’ kepada warga asing.

“Ramai orang (tempatan) boleh beli sebab 40 peratus diskaun dari harga RM1 juta. Kalau kita hendak buat tempahan awal pun dapat 7 peratus sahaja, ini pula rumah sudah siap dapat diskaun 40 peratus.

“Anda cakap dengan dia (Menteri Kewangan), tak payah jual kepada orang asing. Orang Malaysia pun boleh beli,” katanya dalam program Nothing To Hide di sini.

Johari secara terbuka melahirkan kebimbangan dengan cadangan Kerajaan Pakatan Harapan itu kerana ia boleh membawa implikasi lain.

Ia termasuk akan wujud pemaju hartanah yang tidak boleh menjual kediaman pada harga RM500,000, menaikkan harga kepada RM600,000 untuk meraih faedah menjual rumah kepada warga asing.

Perkara ini dibimbangi berlaku di sempadan-sempadan negara seperti Johor, yang mana warga Singapura boleh membeli kediaman-kediaman harga RM600,000 kemudian disewakan kepada rakyat Malaysia.

Tegas beliau, kerajaan perlu memastikan harga siling rumah dijaga supaya pada masa akan datang pemaju tidak lagi ‘syok’ bina rumah tanpa menilai pasaran terlebih dahulu.

“Pemaju kena tahu bisnes ada risiko, jika pemaju tidak boleh bayar, orang lain akan datang ambil syarikat anda. Habis cerita. Nanti bank lelong, rumah akan jatuh harga.

“Kita kena bagi penalti kepada mereka ini, selain itu mahu memastikan tidak ada persaingan untuk membeli rumah di antara rakyat sendiri dan orang luar berebut beli rumah. Ini tak boleh. Kalau hendak berebut bersama-sama dengan orang tempatan, bukan dengan orang luar,” katanya dalam satu program Nothing To Hide.

Oleh sebab itu, kerajaan Pakatan Harapan dituntut untuk menyenaraikan beberapa perkara berhubung cadangan penurunan nilai ambang kediaman berharga RM1 juta bagi memastikan pelaksanaannya benar-benar telus.

Perkara yang perlu disenaraikan ialah lokasi projek tersebut, jumlah kediaman RM1 juta yang tidak laku dan senarai nama-nama pemaju.

Senarai perkara-perkara di atas perlulah diterbitkan dan kemudian diiklankan kepada rakyat di negara ini, katanya.

“Konsep kena telus sebab saya hendak tengok juga senarai, rumah-rumah berharga RM600,000 yang tak boleh jual.

“Kalau rumah RM600,000 tak boleh jual dengan saiz rumah 400 kaki persegi, kerajaan boleh beri kelulusan (untuk dibeli orang asing). Tetapi kalau 600 kaki persegi dengan tiga bilik, buat apa nak jual kepada warga asing?” soal beliau.

Terdahulu, Johari mempersoalkan mengapa kerajaan mahu membantu pemaju menurunkan nilai ambang rumaah mewah sedangkan semasa mereka mahu membangunkan kediaman seumpama itu langsung tidak berbincang dengan kerajaan.

“Dia buat rumah RM1 juta, RM1.2 juta, RM800,000, RM900,000, maknanya mereka sudah ambil risiko sendiri. Apabila tak dapat jual datang kepada kerajaan minta tolong, buat apa? Kalau buat rumah mampu milik tetapi tidak laku, bolehlah jumpa kerajaan.

“Anda buat rumah mewah, tak boleh jual pasal apa? Sejak bila pula kerajaan selamatkan pemaju rumah mewah,” tanya Johari. – MalaysiaGazette