Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad (dua kiri) diiringi Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook (kiri) meluangkan masa melihat pameran pada Pelancaran Dasar Pengangkutan Negara (DPN) 2019-2030 di KL Sentral, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 17 OKTOBER 2019

KUALA LUMPUR – Kerajaan tidak bersedia untuk membangunkan sebarang projek mengenai kereta terbang pada masa ini.

Sebaliknya, langkah yang difokuskan pada masa ini adalah dengan memanfaatkan sepenuhnya penggunaan rangkaian sistem rel yang sememangnya telah sedia ada, kata Perdana Menteri, Tun dr Mahathir Mohamad.

Katanya, kereta terbang mungkin akan wujud satu hari nanti tetapi ia bukanlah pada masa sekarang.

“Kereta terbang mungkin akan ada satu hari nanti, tapi bukan hari ini. Mungkin satu hari nanti kamu boleh terbang dengan dron. Dron lebih selamat,” katanya kepada pemberita pada sidang media selepas melancarkan Dasar Pengangkutan Negara 2019-2030 di KL Sentral di sini hari ini.

Dr Mahathir berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan yang dibuat Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd. Redzuan Md Yusof apabila memberitahu Dewan Rakyat bahawa projek kereta terbang akan dapat dilancarkan pada penghujung tahun ini.

Menurut Redzuan, perbincangan awal pihak swasta dan usahawan berhubung projek kereta terbang, antara lain bagi memastikan perjalanan dari Kuala Lumpur ke Pulau Pinang disingkatkan kepada sejam.

Mengulas lanjut, Dr Mahathir memberitahu, masalah lain akan wujud pula sekiranya semua orang beralih menggunakan kereta terbang.

Malah, polis yang menjaga keselamatan juga terpaksa terbang bagi mengawal lalu lintas dan perkara itu akan menyebabkan masalah besar berlaku.

“Kalau semua orang naik kereta terbang, cuba bayangkan bagaimana banyak kereta di atas.

“Ia akan menyebabkan berlakunya kesesakan di udara dan polis juga kena terbang untuk jaga lalu lintas. Itu akan menyebabkan masalah besar,” ujarnya sambil disambut gelak ketawa hadirin yang mengikuti dalam sidang media berkenaan.

Pada Mac lalu, Redzuan dilapor berkata, kereta terbang pertama Malaysia akan dipacu teknologi tempatan dan prototaip kenderaan itu dijangka diperkenalkan tahun ini.

Redzuan turut memaklumkan kementeriannya telah mengenal pasti industri mobiliti airĀ  sebagai salah satu industri penting yang mampu menjana pertumbuhan ekonomi dan membangunkan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) di Malaysia. – MalaysiaGazette

2 Komen

  1. Dulu kata bulan OKTOBER kereta terbang siap,kini cakap hujung TAHUN PULAk,sampai HUJUNG tahun,cakap PULAK Tahun DEPAN(2020).mETERI mat JENIN PEMBRLIT.

  2. Terlalu banyak perundangan baharu perlu diadakan sebelum Kereta Terbang dibenarkan ujud.
    Salah satunya ialah mengujudkan suatu Jabatan Baharu yang akan mengawasi LALUAN UDARA … Jabatan Pengangkutan Udara. Ianya akan menetapksn laluan Kapalterbang Komersial, laluan Helikopter dan laluan Keretaterbang. Tentunya Keretaterbang tidak dibenarkan melalui ruang Udara kawasan sensitf seperti Kawasan Larangan, menganggu laluan Kapalterbang, menganggu kawasan Pembangunan & Pembinaan. Tentunya Ada tatacara Penerbangan Selamat, Kelajuan Selamat dan Penyelengaraan Selamat. Tidak seperti kereta yg boleh rosak ditengah perjalanan, Keretaterbang tidak ditengah penerbangan pastnya membawa padah dan bencana jauh lebih BESAR dari kemalangan yg melibatkan lori minyak!!!
    Fikirkan ler … mengapa Negara maju yg sudah mempunyai teknologi sebegini jauh lebih lama dan maju, masih tidak ujud sistem Penerbangan Keretaterbang dinegara mereka!!!???

Comments are closed.