KUALA LUMPUR – Diskaun sehingga 50 peratus ditawarkan oleh Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) untuk kompaun terpilih melalui Kempen Pengurangan Kompaun sempena Sambutan Ulang Tahun Bandar Raya Shah Alam Ke-19 pada 30 Oktober ini.
Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awamnya, Shahrin Ahmad berkata, tawaran itu bermula 10 pagi hingga 7 malam di SACC Mall pada hari berkenaan.
Katanya, MBSA turut menawarkan diskaun kompaun Tempat Letak Kereta sebanyak RM30.
“Kami juga mengalu-alukan warga Shah Alam bertemu dengan pihak pengurusan MBSA bagi menyalurkan aduan dan permasalahan yang dialami di kawasan masing-masing dalam usaha untuk mendekati warga kota Shah Alam secara terus.
“Selain itu, program ini juga merupakan komitmen berterusan pihak Majlis untuk mempertingkatkan serta memperbaiki sistem penyampaian demi kemudahan komuniti setempat,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.
Shahrin berkata, program itu merupakan usaha MBSA untuk memberi ruang hebahan dan mempromosikan perkhidmatan kepada pengunjung.
Ujarnya, antara perkhidmatan yang disediakan semasa program itu adalah seperti penyemakan dan pembayaran cukai taksiran, penyemakan dan pembayaran kompaun khususnya kompaun trafik, semakan aduan, permohonan ubahsuai premis dan sebagainya. – MalaysiaGazette