KUALA LUMPUR – Potong sepenuhnya elaun persidangan dan penginapan Ahli Parlimen yang tidak hadir ke Dewan Rakyat sekiranya kehadiran kurang dari 70 peratus.
Presiden penaja Parti Putra Malaysia, Datuk Paduka Dr. Ibrahim Ali ketika mencadangkan perkara itu berkata, beliau kecewa dengan isu ketidakhadiran Ahli Parlimen ke persidangan yang dianggapnya agak serius dan memalukan.
Tegas beliau, walaupun banyak teguran dan peringatan diberikan, mereka langsung tidak mengambil berat, dan sewajarnya pentadbiran Parlimen melalui kuasa Speaker mengambil langkah segera ke atas wakil rakyat terbabit.
“Saya cadangkan mana-mana Ahli Dewan Rakyat (ADR) tidak hadir kurang dari 70 peratus masa bersidang, semua elaun persidangan dan elaun tempat penginapan serta lain-lain imbuhan dipotong sepenuhnya.
“Mereka tidak berhak menerima apa juga bentuk elaun. Semua itu diberikan berdasarkan jumlah kehadiran sahaja,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.
Rabu lalu, media melaporkan kegagalan Ahli Parlimen menghadiri persidangan Dewan Rakyat tanpa alasan kukuh bukan sahaja mengganggu perjalanan mesyuarat, malah menjejaskan proses kedaulatan undang-undang.
Isu Dewan Rakyat ‘kosong’ bukan baharu berlaku, sebaliknya pernah ditegur oleh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad pada Julai tahun lalu yang tidak berpuas hati dengan kehadiran menteri dan timbalan menteri.
Lebih menghairankan, sehari selepas ditegur Perdana Menteri, persidangan Dewan Rakyat terpaksa ditangguhkan selama 10 minit kerana tidak cukup korum.
Menurut Dr. Ibrahim, Dewan Rakyat tidak cukup korum memang semakin serius dan paling malang berlaku di bawah kerajaan baharu Pakatan Harapan (PH) yang melaungkan serba serbi pembaharuan.
“Kalau macam itu pembaharuan yang dimaksudkan, rakyat akan menimbulkan pelbagai persepsi atau anologi buruk kepada mereka, yang sekali gus boleh menjatuhkan maruah Ahli Parlimen.
“Nampak sangat sebahagian besar mereka bukan spesies yang tahu malu dan serius dengan tanggungjawab.
“Cuba bayangkan elaun hotel atau penginapan dibayar, tetapi mereka ponteng. Paling menyedihkan ada dalam kalangan mereka hanya hadir untuk daftar dan tunjuk muka kemudian keluar.
“Ketika saya Ahli Parlimen tahun 1986, 1990 dan 2008, Kehadiran saya hampir penuh sepanjang masa. Rekod Parlimen boleh disemak. Saya nyatakan ini nanti ada yang akan buat tuduhan bukan-bukan apabila saya bersuara perkara ini,” katanya.
Beliau turut mencadangkan, nama Ahli Parlimen yang ponteng secara berterusan disiarkan di papan layar ruang lobi Parlimen untuk makluman kepada orang ramai dan media.
Katanya, laporan Parlimen oleh televisyen juga patut menyebut nama Ahli Parlimen yang hadir lebih dari 70 peratus dan sehari selepas tamat persidangan, keluarkan jumlah jam kehadiran setiap mereka kepada umum dan media.
“Apakah mereka tidak malu kepada penjawat awam dan kakitangan swasta yang wajib hadir bertugas mengikut masa, jika tidak berdepan tindakan disiplin atau dipecat.
“Bekerja pula sepanjang masa, bukan macam Ahli Dewan Rakyat (ADR), Dewan Negara atau Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang menerima gaji bulanan begitu besar dan pelbagai elaun.
“Pencen pula besar dan ada dapat dua pencen, selain elaun bulanan jika kembali semula sebagai ADR atau ADUN, sedangkan kakitangan awam berpuluh tahun bekerja baru dapat pencen, itupun tidak cukup makan,” ujar beliau,
Kata beliau, sebagai pengubal undang-undang yang menerima imbuhan gaji dan elaun lumayan serta kedudukan dipanggil Yang Berhormat, tidakkah boleh berkorban dengan semangat tinggi sekadar menghadiri sidang dewan yang diadakan tiga hingga empat kali setahun,” katanya. – MalaysiaGazette