KUALA LUMPUR – Permohonan bekas Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Salleh Said Keruak untuk menyertai PKR masih lagi dalam perbincangan.
Menurut Pengarah Komunikasinya, Fahmi Fadzil, penyertaan bekas Menteri UMNO itu masih belum diputuskan oleh Biro Politik PKR.
Malah penyertaan Salleh turut mendapat pandangan daripada PKR negeri Sabah.
“Berkenaan permohonan Datuk Seri Salleh Keruak, Biro Politik PKR masih lagi dalam perbincangan untuk mendapatkan pandangan daripada peringkat Majlis Pimpinan Negeri Sabah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sebelum ini, Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, penyertaan Salleh untuk menyertai parti itu akan ditentukan dalam Mesyuarat Biro Politik PKR yang diadakan hari ini.
Beliau turut berkata, permohonan keanggotaan Salleh itu diterima dalam talian dan akan dibahas oleh biro tersebut sebelum keputusan muktamad dibuat mengenai status permohonan bekas bendahari UMNO itu.
Pada 5 Oktober lalu, tangkap layar status permohonan bekas Ketua Menteri Sabah itu untuk menyertai PKR tersebar.
Tangkapan layar itu menunjukkan nama sebenar Salleh iaitu Md Salleh Md Said lengkap nombor kad pengenalan dan status permohonan ‘lulus’ untuk cabang PKR Kota Belud, Sabah dengan nombor keahlian S0300008562. – MalaysiaGazette