KUALA LUMPUR – Penerapan unsur keraguan terhadap kebenaran ajaran Islam didakwa dirancang secara terperinci oleh dalang pertandingan Debat Piala Tun Razak baru-baru ini adalah suatu tindakan biadab.
Menerapkan sentimen keraguan terhadap kebenaran ajaran Islam terutamanya mendebatkan kesahihan kitab suci umat Islam amatlah berbahaya.
Ketua Pemuda Pas Sarawak, Hamdan Sani berkata, jika tiada tindakan diambil sekarang, nescaya perkara ini akan berulang lagi pada masa hadapan, bahkan mungkin akan jadi lebih teruk.
Jelasnya, apa yang berlaku dalam pertandingan itu bukanlah kebebasan bersuara yang sebenar kerana untuk bersuara perlu ada peraturannya terutamanya dalam menjaga sensitiviti antara kaum dan menghormati agama dan kaum majoriti dalam negara.
Sebaliknya, beliau menyifatkan ia adalah agenda menormalisasikan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) sedang berlaku di Malaysia dan seluruh dunia.
Sehingga ke satu tahap, di masa hadapan, masyarakat akan menganggap LGBT merupakan sebahagian daripada kolompok masyarakat dan tidak menganggap perbuatan seperti ini adalah jijik dan kedudukan mereka setaraf dengan kumpulan masyarakat awam lain walaupun semua agama di dunia ini menolak amalan LGBT dan mengutuk pelaku serta pengamal LGBT.
“Dewan Pemuda Pas Negeri Sarawak melihat agenda LGBT semakin hebat di dunia ini khususnya di Malaysia, dengan munculnya kumpulan ini yang didukung oleh ahli Parlimen Kerajaan serta penyebaran secara terbuka amalan dan budaya berunsur LGBT tanpa ada sekatan mahupun tindakan serius.
“Walaupun saluran media di Malaysia tidak mempromosikan LGBT secara rasmi, namun ramai remaja di Malaysia menggilai pengamal LGBT dari Thailand dan China, dengan menggunakan saluran lain seperti channel tv, youtube dan sebagainya. Oleh kerana adanya peminat dan permintaan, maka Malaysia pernah menjemput pelakon LGBT popular dari Thailand ke Malaysia.
“Malah sekarang muncul tokoh-tokoh LGBT yang berjaya dalam bidang perniagaan. Disebabkan kejayaan mereka ini bukan hanya di medan media sosial, bahkan di medan ekonomi tempatan, masyarakat mula kurang mengecam mereka dan muncul gerakan ‘mereka hanyalah manusia biasa’, ‘lihat mereka lebih berjaya dari anda’.Tidakkah keadaan ini berbahaya?,” soalnya.
Kemudian muncul pula gerakan di Eropah yang menegaskan di dalam al-Quran tidak menyebut secara langsung haramnya budaya LGBT, dan pengharaman tersebut hanya disebut dalam Hadis.
Katanya, Islamphobia terhadap LGBT menjadi senjata musuh Islam paling ampuh untuk menyerang umat Islam, apatah lagi sekarang kita berada di zaman hak asasi manusia, semua jenis hak asasi termasuk LGBT sedang dijulang tinggi.
Sehingga pada satu tahap, umat Islam dipaksa untuk menghormati hak asasi LGBT dan tidak boleh membenci dan menghukum mereka malah diarah untuk mencintai mereka. Isu terkini ialah tindakan Ilhan Omar (MP Muslim di AS) menyertai perarakan LGBT di US untuk menunjukkan Islam toleran pada LGBT.
Selain itu, tindakan pemimpin dunia yang menyatakan Islam di negara Barat hidup disebabkan budaya toleransi dan menghormati hak asasi, contohnya Perdana Menteri New Zealand dihormati kerana tindakan dan reaksinya dalam menangani tragedi Christchurch, tetapi beliau sendiri merupakan aktivis LGBT di negaranya sendiri.
Tindakan ini memberi gambaran kepada umat Islam bahawa, Islam juga wajib menghormati hak asasi LGBT di negara Islam sendiri, seperti mana mereka hormati hak asasi Islam di negara Barat, ujar beliau. – MalaysiaGazette