Graduan UM, Wong Yan Ke menunjukkan sijil ijazah miliknya selepas ditahan oleh pihak universiti pada sidang media di Bangunan Peperiksaan Universiti Malaya, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 19 OKTOBER 2019.

KUALA LUMPUR – Graduan Universiti Malaya (UM) yang mencetuskan kontroversi kerana mengangkat plakad “Undur VC” semasa majlis konvokesyen baru-baru ini menafikan dirinya terlibat menggodam website universiti itu semalam.

Wong Yan Ke selain itu turut memaklumkan tidak mengetahui dalang di sebalik tindakan itu.

Bagaimanapun menurutnya, situasi itu membuktikan bukan hanya dirinya seorang yang tidak berpuas hati dengan UM.

“Saya tidak tahu siapa di sebalik yang menggodam ini. Saya hendak jelaskan saya tidak terlibat dalam apa juga tindakan menggodam website UM.

“Ini menunjukkan ada juga yang tidak berpuas hati dengan tindakan universiti,” katanya ketika sidang media selepas mengambil sijil ijazahnya di Bangunan Peperiksaan UM hari ini.

Semalam, pautan berbayar di laman web rasmi UM menjadi sasaran penggodam yang tidak dikenalpasti dan kemudiannya dikaitkan dengan isu protes membabitkan Yan Ke pada majlis konvokesyen baru-baru ini.

Klik pada pautan itu membawa ke halaman yang tertera beberapa baris ayat oleh penggodam:

Biar Mati Dari Hidup Melutut. I would rather die standing than live kneeling. If my words threaten those in power, so be it. If my pictures alarm the people, that is good.
Your teeth come down, my sword goes up.#NoRasis #UndurVc #University of Malaya”

UM selepas mengesahkannya dan sedang menjalankan siasatan lanjut berhubung insiden tersebut. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast