PUTRAJAYA -“Siapa rajin cari peluang, dia dapat banyak duit,” kata Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Beliau berkata demikian untuk para usahawan di negara ini yang mahu memajukan perniagaan ketika ditemui pemberita selepas mengadakan walkabout KUD@KPLB 2019 di sini hari ini.
KUD@KPLB 2019 atau Karnival Usahawan Desa anjuran Kementerian Pembangunan Luar Bandar itu adalah program dua hari yang menghimpunkan usahawan-usahawan kecil tempatan.
Ia turut menyediakan platform bagi sesi padanan perniagaan dengan pasar raya dan vendor-vendor mesin.
Tambah Mahathir, pelbagai cara untuk mengembangkan perniagaan, penghasilan produk dan penembusan pasaran ada ditunjukkan di karnival tersebut.
Katanya, adalah penting kepada warga desa untuk menambah pendapatan supaya dapat meningkatkan kehidupan setara dengan orang bandar.
“Orang kampung kalau tidak buat apa, dia tidak dapatlah. Dia kena rajin kerana banyak peluang di sini yang dia boleh dapat.
“Kalau hendak keluarkan (produk dalam kuantiti) banyak, boleh guna mesin. Di sini ada mesin yang harga murah. Orang kampung kena tambah pendapatan,” katanya lagi.
Perdana Menteri yang tiba ke karnival berkenaan kira-kira jam 4.05 petang dengan memandu sendiri Proton SUV X70 disambut Menteri Luar Bandar, Datuk Rina Harun.
Beliau menghabiskan masa lebih sejam melawat gerai pameran sambil mendengar penerangan daripada usahawan-usahawan yang menyertai karnival berkenaan. -MalaysiaGazette