Salah satu tinggalan sejarah di Iraq yang turut menjadi mangsa perang

BALI- Tapak warisan budaya di seluruh dunia semakin menjadi sasaran konflik bersenjata sejak sedekad yang lalu.

Pengarah Budaya dan Darurat UNESCO, Lazare Eloundou Assomo semasa satu acara antarabangsa di Bali bulan lepas berkata, terdapat perubahan dalam menyasarkan tapak warisan budaya.

“Ini bukan sahaja kerana terjadinya konflik tetapi budaya telah menjadi sasaran kerana ada pihak yang mahu menafikan identiti budaya sesebuah kaum atau negara itu, mereka mahu menafikan maruah rakyat dan memusnahkan jalinan sosial dan kehidupan sosial rakyat.

“Dalam tempoh sedekad, tapak warisan budaya semakin menjadi sasaran,” katanya.

Tambah Assomo, tapak warisan di Mali, Iraq, Syria, Afghanistan dan Nigeria telah pun menjadi sasaran.

“Ini bukan sahaja warisan yang besar-besar tetapi juga warisan yang kecil seperti kuil, kampung-kampung tradisional, galeri, masjid kecil yang mana tidak ramai yang sedar kejadian ini berlaku,” katanya.

Cabaran terbesar di dalam mempertahankan warisan budaya katanya, adalah dengan berganding bahu dengan seluruh komuniti antarabangsa.

Kemusnahan terhadap warisan walaupun kecil akan memberi kesan kepada seluruh dunia, disebabkan itu semua orang perlu tampil untuk mempertahankannya.-MalaysiaGazette