KUALA LUMPUR – Meskipun telah diserahkan sijil ijazahnya namun graduan yang telah mencetuskan kontroversi ketika majlis konvokesyen baru-baru ini masih belum berpuas hati dengan Universiti Malaya (UM).

Menerusi peguamnya Asheeq Ali, pihak UM didakwa menipu kerana mengeluarkan kenyataan bercanggah apabila menahan penyerahan sijil selama dua hari.

Jelasnya, transkrip para graduan sepatutnya diserahkan bermula 16 September yang lalu namun Wong Yan Ke hanya dipanggil pada 18 Oktober (Khamis).

Sehubungan itu, beliau menggesa UM memberi penjelasan sebab menahan sijil selama dua hari kepada graduan Kejuruteraan Awam itu.

“Saya melihat satu kenyataan media yang dikeluarkan oleh lembaga pengarah UM bertarikh 19 Oktober (hari ini) yang menyatakan UM tidak menahan sijil graduan anak guam saya, kenyataan itu menipu semata-mata kerana ijazah tersebut telah ditahan dan dia tidak dapat ambil ijazah tersebut dari tarikh bergraduasi sehingga mereka panggil ambil izajah rersebut semalam (18 Oktober).

“Saya hendak pihak universiti jelaskan kenapa mereka cakap tidak tahan sijil anak guam saya tetapi telah tahan dua hari. Kalau mereka tidak jelaskan bermakna mereka memburukkan prestasi universiti kerana menipu masyarakat,” katanya ketika sidang media di Bangunan Peperiksaan UM hari ini.