Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Chong Chieng Jen (dua kiri) berbual mesra bersama Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Bhd, Datuk Ameer Ali Mydin (dua kanan) ketika melawat pameran selepas Majlis Perasmian Kempen Beli Barangan Malaysia di Mydin USJ, Subang Jaya, Selangor. foto FAREEZ FADZIL, 21 OKTOBER 2019.

SUBANG JAYA –  Mydin setakat ini telah memberi ruang  kepada 1,500 jenis produk tempatan dijual di rangkaian pasar raya tersebut.

Malah menurut Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Berhad, Datuk Dr. Ameer Ali Mydin, tiada had jumlah  yang boleh dipasarkan daripada Industri Kecil dan Sederhana (IKS) dan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) kerana tujuan pasar raya itu adalah untuk membantu produk tempatan bersaing.

Katanya lagi,  Mydin sentiasa memberi peluang kepada usahawan mempromosi barangan mereka dalam masa yang sama perlu menjaga kualiti barang yang dipasarkan.

“Mana kurang jaga barang tak cukup marketing (pemasaran)  kita keluarkan dan masukkan barang baharu.

“Tidak ada sasaran jumlah, jualan juga terpulang kepada penjual,” katanya ketika sidang media hari ini.

Sebelum itu, beliau mengiringi Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Chong Chieng Jen Majlis Perasmian Kempen Beli Barangan Malaysia di Mydin USJ, Subang Jaya hari ini.

Konsisten dengan langkah itu, Ameer Ali berkata, Mydin dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengadakan Kempen Beli Barangan Malaysia ‘Ini Malaysia Punya’ di pasaraya itu seluruh negara.

Namun begitu, Ameer memuji revolusi produk tempatan yang kini setanding dengan import khususnya bermula dari pembungkusan sehingga kualitinya.

“Sekarang kalau kita lihat pun produk tempatan seperti tiada beza dengan produk import yang lain. Kalau dulu yang dalam plastik kita mesti tahu ia produk dari IKS. Sekarang bekas sudah cantik,” tambahnya.

Kempen Beli Barangan Malaysia di Mydin bermula dari 18 Oktober yang lalu dan akan berakhir penghujung tahun ini.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast