Bekas Pengerusi Felda Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad
Mohd Isa Samad

KUALA LUMPUR — Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu bahawa bekas Pengerusi Felda Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad meminta suapan RM3 juta daripada Gegasan Abadi Properties Sdn Bhd (GAPSB) bagi pembelian Merdeka Palace Hotel & Suites (MPSH) bernilai RM160 juta bagi tujuan kerja-kerja politiknya.

Bekas Ahli Lembaga Pengarah (ALP) GAPSB, Ikhwan Zaidel, 59, ketika membaca penyataan saksinya berkata suapan itu diminta Mohd Isa melalui pegawai khasnya, Muhammad Zahid Md Arif.

“Zahid ada maklumkan kepada saya bahawa Tan Sri merupakan orang politik. Beliau memerlukan dana bagi kerja-kerja politik tersebut.

“Pada pemahaman saya, Tan Sri yang disebutkan oleh beliau adalah merujuk kepada Tan Sri Isa kerana Zahid Md Arif merupakan Pegawai Khas Tan Sri Isa.“ kata saksi pendakwaan ke-16 itu pada hari kesembilan perbicaraan kes pecah amanah dan rasuah RM3 juta Mohd Isa membabitkan hotel berkenaan di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

Saksi itu berkata Muhammad Zahid tidak memaklumkan jumlah yang diperlukan oleh Mohd Isa dan akan menghubunginya untuk mendapatkan jawapan berhubung permintaan itu.

Ikhwan berkata beliau tidak ada pilihan dan akur untuk memenuhi permintaan Mohd Isa.

“Kami risau dengan keputusan dan pengaruh Tan Sri Isa sekiranya kami tidak memenuhi permintaan beliau, terdapat kemungkinan Tan Sri Isa akan melengahkan pembayaran kepada pihak GAPSB atau membatalkan urusniaga pembelian MPHS kerana sebelum ini Felda Investment Corporations Sdn Bhd (FICSB) telah pun menolak cadangan pembelian MPHS.

“Maka setelah mengambil kira harga jualan MPHS yang berjumlah RM160 juta dan harga minimum yang dipersetujui ALP GAPSB adalah RM150 juta, pihak kami bersetuju untuk memenuhi permintaan Tan Sri Isa yang disampaikan melalui Zahid dengan cara membayar RM10 juta kepada JV Evolution Sdn Bhd (Ejen Hartanah GAPS),” katanya.

Ikhwan berkata sekitar Jun 2014 iaitu sebelum Perjanjian Jual Beli ditandatangani antara GAPSB dan FICSB, beliau ada berhubung melalui telefon dengan Muhammad Zahid untuk memaklumkan bahawa pihaknya dengan ALP GAPS Ibrahim Baki tidak ada pilihan dan akur terhadap permintaan Mohd Isa yang dibuat sebelum ini.

“Saya kemudiannya berjumpa Muhammad Zahid untuk memaklumkan kepada beliau berhubung wang diminta oleh beliau yang mana saya dan Ibrahim Baki tidak ada pilihan dan akur untuk memberi setakat RM3 juta sahaja atas tujuan political fund sepertimana yang diberitahu beliau.

“Pemberian RM3 juta kepada Tan Sri Isa melalui Muhammad Zahid ini tidak dimaklumkan kepada ALP GAPSB dan hanya saya serta Ibrahim Baki sahaja yang tahu. Muhammad Zahid bersetuju dengan amaun yang saya maklumkan kepada beliau.

“Bagaimanapun pada masa itu saya tidak menyerahkan apa-apa wang kepada beliau. Saya turut maklumkan bayaran kepada Tan Sri Isa melalui Muhammad Zahid akan dibuat apabila pihak FICSB mula membuat bayaran kepada GAPSB selepas pembelian MPHS,” katanya.

Ikhwan berkata awal Julai 2014, Muhammad Zahid ada menghubunginya dan memintanya agar dapat berikan wang pendahuluan berjumlah RM100, 000 untuk diberikan kepada Mohd Isa.

“Saya akur dengan permintaan tersebut. Ketika itu pihak GAPSB belum lagi terima apa-apa bayaran daripada FICSB dan pihak GAPSB belum membayar komisen sebanyak RM1 juta kepada JVESB. Saya beritahu Muhammad Zahid saya akan usahakan mendapatkan dana tersebut, “katanya.

Mohd Isa, 70, menghadapi satu pertuduhan pecah amanah dan sembilan pertuduhan menerima rasuah berjumlah lebih RM3 juta yang didakwa dilakukan di Menara Felda, Platinum Park, Persiaran KLCC antara 29 April 2014 dan 11 Dis 2015.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohd Nazlan bersambung Khamis.- BERNAMA