KUALA LUMPUR – Dalam keadaan kesukaran mencari pekerjaan yang bersesuaian dengan kebolehan dan kelulusan, maka Gig ekonomi memberi peluang kepada golongan pencari kerja untuk meraih pendapatan halal.
Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, bagamanapun mereka yang terlibat dalam Gig ekonomi tidak menikmatikan perlindungan dan kemudahan sebagaimana pekerja biasa.
Menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Pontian, Datuk Ahmad Maslan di Dewan Rakyat hari ini, katanya, kerajaan juga tidak menghentikan sistem tersebut kerana melaluinya rakyat berpeluang menambah pendapatan dan bagi yang menganggur dapat menampung kehidupan seharian.
Dr Mahathir berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Ahmad Maslan (BN-Pontian) dalam sidang Dewan Rakyat yang bertanyakan mengenai semakin ramai yang membuat kerja sambilan justeru perlu diwujudkan garis panduan yang berkaitan.
Menjawab soalan tambahan Mohd Shahar Abdullah (BN-Paya Besar), Perdana Menteri berkata, kerajaan sedang meneliti undang-undang serta peraturan bagi melindungi pekerja dalam Gig ekonomi.
Merujuk kepada Foodpanda, katanya, ketika sistem kerja itu diperkenalkan di Malaysia, kerajaan masih tidak mahir dengan Gig ekonomi menyebabkan tiada peraturan atau undang-undang digubal sehinggakan wujud kemungkinan pekerja dianaiya oleh majikan.
“Adalah menjadi tanggungjawab kerajaan sekarang ini untuk menyusun undang-undnag dan peraturan supaya semua pihak terlindung dan kita mendapat pertumbuhan ekonomi hasil Gig ekonomi,” katanya.
Menjawab soalan Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil (PKR-Lembah Pantai) sama ada jawatankuasa yang terlibat menggubal undang-undang akan menyentuh mengenai caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja dan Perkeso, Dr Mahathir berkata, kerajaan memang prihatin terhadap nasib pekerja Gig ekonomi. – MalaysiaGazette