Pelajar IPT perlu kekal berada di kampus. Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR- Isu kebajikan mahasiswa di luar kampus terutamanya yang melibatkan pelajar daripada keluarga B40 tidak pernah dibincangkan secara serius di peringkat nasional.

Meskipun diberi pinjaman ataupun biasiswa, wang diterima masih tidak mencukupi untuk menampung kos kehidupan termasuk sewa rumah ditambah dengan pembelian bahan bacaan, nota, yuran pengajian, pengangkutan dan sebagainya.

Dengan itu, sebuah badan bukan kerajaan Youth Build Nation menyarankan pihak universiti supaya memberi keutamaan kepada mahasiswa B40 untuk menetap di dalam kampus.

Pihak universiti juga dicadangkan untuk menghentikan pendekatan merit yang dikutip melalui kehadiran dalam program-program yang dianjurkan dan diiktiraf universiti dengan segara.

Ini kerana, para mahasiswa B40 terpaksa bersaing dengan mahasiswa lain untuk mendapatkan penempatan di dalam kampus, termasuklah mahasiswa yang terlibat dengan aktiviti kor-kepimpinan seperti mahasiswa SUKSIS, SISPA dan lain-lain.

“Selain daripada itu, setiap universiti mempunyai satu entiti perniagaan yang mana boleh mengambil inisiatif untuk membeli aset-aset seperti rumah untuk disewakan pada kadar yang rendah untuk mahasiswa yang tidak mempunyai peluang untuk tinggal di dalam kampus.

“Usaha yang ditunjukkan oleh Kesatuan Mahasiswa Universiti Malaya dalam membantu mahasiswa dengan mendapatkan rumah sewa adalah satu pendekatan yang perlu dicontohi oleh semua Majlis Perwakilan Pelajar di seluruh universiti dalam menjaga kebajikan siswa luar kampus.

“Selain itu, Kementerian Pendidikan perlu memulakan langkah untuk berbincang dengan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) serta pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk mewujudkan satu penempatan khas untuk mahasiswa seperti mana usaha Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dalam membantu mengurangkan bebanan rakyat ibu kota dalam mendapatkan ruang atau bilik sewaan pada kadar yang rendah.

“Ruang yang selesa dengan kadar sewaan yang mampu ditanggung oleh mahasiswa amat penting bagi memudahkan urusan mahasiswa meneruskan pembelajaran mereka tanpa sebarang kesulitan.

“Kami yakin, dengan usaha daripada semua pihak, isu kebajikan siswa luar kampus akan mampu ditangani secara bersama dengan lebih efektif,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambahnya, memberi peluang kepada mahasiswa untuk bekerja separuh masa samada di dalam kampus atau di luar bukanlah satu solusi terbaik kerana masa yang sangat padat yang terpaksa dilalui oleh mahasiswa setiap semester demi semester.

Di samping itu, Youth Build Nation dan Helping Hands Project UM, sebuah gerakan mahasiswa Universiti Malaya akan menjalankan program “Jelajah Luar Kampus” yang bertujuan untuk memberikan sumbangan dan bantuan kepada mahasiswa yang menetap di luar kampus.

Ini merupakan usaha badan tersebut dalam bersama-sama kerajaan menangani isu ini.  -MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast