Komik “Inisiatif Jalur & Jalan Meraih Manfaat Bersama” yang diharamkan KDN.

KUALA LUMPUR – Kementerian Dalam Negeri (KDN) hari ini mewartakan Perintah Larangan terhadap penerbitan bertajuk “Inisiatif Jalur & Jalan Meraih Manfaat Bersama”.

Perintah Larangan itu turut terpakai bagi versi bahasa Inggeris “Belt & Road Initiative For Win-Winism” dan versi Bahasa Cina “互利共赢的 一带一路 ” melalui Warta Kerajaan P.U.(A) 288/2019.

KDN dalam kenyataannya memberitahu, warta Perintah Larangan ini mengikut Seksyen 7(1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (Akta 301).

“Perintah ini menetapkan pencetakan, pengimportan, penghasilan, penghasilan semula, penerbitan, penjualan, pengeluaran, pengelilingan, pengedaran atau pemilikan hasil penerbitan ini adalah dilarang secara mutlak di Malaysia,” kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu lagi, penerbitan tersebut  dikenakan perintah larangan kerana terdapat kandungan yang mungkin memudaratkan ketenteraman awam dan keselamatan serta mungkin menggemparkan fikiran orang ramai.

Kandungan penerbitan ini antara lain cuba mempromosikan ideologi komunisme dan sosialisme, menyebarkan fakta yang salah dan mengelirukan tentang komunis serta mengandungi unsur untuk membangkitkan sokongan dan simpati terhadap perjuangan komunis.

“Ia juga boleh menimbulkan keraguan kepada pembaca khususnya generasi muda tentang sejarah Malaysia, seterusnya mempertikaikan usaha serta perjuangan tokoh/pemimpin negara terdahulu dalam memperjuangkan kemerdekaan dan membangunkan negara.

“​Kandungan penerbitan ini dlilihat tidak mengambil kira sensitiviti rakyat Malaysia yang berbilang kaum dan agama serta dibimbangi boleh memecah belahkan keharmonian dan perpaduan masyarakat di negara ini,” kata KDN.

Sehubungan itu, mana-mana orang yang mencetak, mengimport, menghasilkan, menghasilkan semula, menerbit, menjual, mengeluar, mengeliling, menawarkan untuk menjual, mengedar atau ada dalam milikannya bagi apa-apa jua maksud seperti itu apa-apa hasil penerbitan larangan melakukan suatu kesalahan dan boleh, apabila disabitkan, dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga (3) tahun atau didenda tidak melebihi RM20,000.00 atau kedua-duanya seperti yang ditetapkan di bawah Seksyen 8(2) Akta 301 tersebut.

Mana-mana pihak yang mengetahui jika masih terdapat penerbitan yang mungkin melanggar undang-undang egara diedarkan di pasaran, aduan boleh dibuat kepada Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan, KDN di talian telefon 03 – 88868047 atau faks 03 – 88891682 atau melalui Sistem Pengaduan Awam Bersepadu KDN di laman sesawang http://moha.spab.gov.my. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Bagus…dapig belum jadi krjaan spnuhnya lgi tu..dah halalkn yg haram..so wajid org islam n mlyu tolak anjing dapig dalm pru15 nnti…#ABC

Comments are closed.