KUALA LUMPUR – Komik ‘Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI)’ bukan sekadar propaganda malah menghina Perdana Menteri Kedua Malaysia Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein.
Setiausaha Gerakan Mak Kah Keong mendakwa halaman 127 dalam komik yang telah diedarkan di sekolah-sekolah menengah itu seolah-olah cuba menggambarkan tokoh itu bersikap hipokrit apabila mengadakan hubungan diplomasi dengan China dalam masa yang sama menentang komunis semasa era pentadbirannya.
Nukilan komik itu juga dalam masa sama membuktikan DAP mempunyai persepsi negatif terhadap Tun Abdul Razak.
“Paling menjijikkan saya tentang komik ini adalah apabila mengatakan Tun Razak akan tangkap komunis tapi beliau sendiri adakan hubungan diplomatik dengan China.
“Kita (Gerakan) tahu Cina DAP banyak propaganda memang ada persepsi negatif tentang Tun Razak,” katanya ketika sidang media hari ini.
Meskipun tidak ada pihak yang membuat laporan polis namun menurut Setiausaha Agung Gerakan itu, isu penyebaran komik BRIi perlu ditangani segera.
Selain itu Kementerian Pendidikan Malaysia perlu menarik 2,500 naskah komik yang telah diedarkan di sekolah menengah dakam masa yang sama Kementerian Dalam Negeri perlu mengkaji isi kandungannya kemudian membuat pengesahan.
Selain itu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) disifatkan beliau seolah-olah menjadi barua DAP apabila Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang juga pengerusi parti itu sendiri menyerahkan komik propaganda itu kepada Presiden China Xi Jinping baru-baru ini.
“Dalam komposisi PH ada Bersatu secara rasmi telah beri satu naskah kepada Presiden China, adakah mereka bersetuju mesej yang dibawa oleh komik ini?
“Kalau tak ambil tindakan tentang komik ini, tunjukkan Bersatu barua kepada orang yang cuba buat propaganda ini,” tambahnya.
Terdahulu Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik menegaskan pihaknya tidak terlibat dalam pengedaran komik tersebut di beberapa sekolah.
Namun pelbagai pihak konsisten mempertikaikan kaitan penulis komik itu Hew Kuan Yau pada 12 September lalu mengadakan lawatan dengan Timbalan Menteri Pendidikan, YB Teo Nie Ching dan menyerahkan senaskah hasil nukilannya. -MalaysiaGazette