Bank Negara
Logo Bank Negara Malaysia
KUALA LUMPUR – Kedudukan kewangan isi rumah Malaysia kekal berdaya tahan walaupun paras agregat hutang meningkat, kata seorang pegawai Bank Negara Malaysia (BNM) hari ini.

Pengarah Jabatan Pemantauan dan Pengawasan Kewangan BNM, Qaiser Iskandar Anwarudin berkata ini terbukti menerusi nisbah rosot nilai pinjaman yang lebih baik kepada 1.3 peratus berbanding purata lima tahun sebanyak 1.5 peratus selain bahagian pendapatan boleh guna yang rendah bagi tujuan pembayaran semula pinjaman pada 36 peratus.

Menurutnya, nisbah aset kewangan mudah tunai-kepada-hutang isi rumah juga kekal memadai pada 1.5 kali manakala nisbah aset kepada hutang juga lebih baik kepada 4.1 kali.

“Secara agregat, isi rumah terus berdaya tahan dengan kedudukan kewangan masing-masing dalam keadaan terkawal,” katanya pada sesi taklimat bersama media di Sasana Kijang di sini, hari ini.

Mengulas selanjutnya, Qaiser Iskandar berkata para hutang isi rumah Malaysia telah menyederhana kepada 82.2 peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK) berbanding kemuncak 86.9 peratus pada 2015 walaupun ini masih antara yang tertinggi di Asia dan negara-negara berpendapatan tinggi lainnya seperti Amerika Syarikat (75 peratus), Hong Kong (73.2 peratus), Jepun (58.2 peratus) dan Singapura (53.6 peratus).

Bagaimanapun, katanya, dua pertiga daripada pinjaman isi rumah itu adalah bagi tujuan mengumpul kekayaan terutamanya untuk membeli rumah dan sekuriti seperti unit Amanah Saham Bumiputera (ASB).

“Lebih separuh daripada hutang isi rumah itu diperolehi bagi tujuan perumahan khususnya membeli rumah mampu milik dengan 84 peratus membabitkan pinjaman disediakan oleh pihak bank,” katanya.

Menurutnya, segmen tertentu isi rumah didapati terus memaparkan kelemahan terhadap kejutan, terutama mereka yang berpendapatan kurang RM5,000 sebulan berikutan baki gaji lebih rendah selepas ditolak tanggungjawab membayar hutang dan perbelanjaan sedia ada.

Malah, golongan itu merupakan majoriti atau 80 peratus daripada peserta program pengurusan kredit kendalian Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK).

“Kira-kira dua pertiga daripada jumlah kebankrapan adalah disebabkan oleh pinjaman perbelanjaan, khususnya dalam kalangan peminjam yang berpendapatan kurang RM5,000 sebulan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata BNM akan terus mengenal pasti kaedah untuk memastikan kesejahteraan isi rumah bagi tempoh jangka panjang, termasuk menerusi kerjasama dengan penggiat industri dan agensi berkaitan.

Ini seperti meningkatkan aspek celik kewangan rakyat menerusi penganjuran program pendidikan kewangan dan menggalakkan sikap bertanggungjawab dalam pengurusan kewangan, katanya.

Pada masa sama, beliau berkata, BNM akan terus melindungi isi rumah daripada kesukaran kewangan akibat beban hutang melampau, masalah tunggakan pembayaran semula pinjaman selain tindakan seperti perampasan harta yang boleh menjejaskan objektif pemilikan rumah. – MalaysiaGazette