Lim Guan Eng

KUALA LUMPUR – Pengerusi DAP, Tan Kok Wai dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng sepatutnya meminta maaf kepada rakyat di negara ini kerana terlibat secara tidak langsung dalam penerbitan komik “Inisiatif Jalur & Jalan Meraih Manfaat Bersama”.

Kedua-dua mereka terlibat menulis prakata komik pro-komunis yang sudah diharamkan Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Sebelum ini, Kuan Yau yakin Guan Eng dan Kok Wai telah baca intipati komik itu sebelum setuju untuk turut serta menulis prakata komik itu.

Pemerhati politik, Dr Novandri Hasan Basri berkata, jika benar mereka sudah baca, bagaimanakah seorang menteri kanan PH dan Duta Khas Malaysia boleh tergamak menulis prakata komik yang mengandungi fakta salah, unsur sokongan serta simpati kepada komunis dan tidak mengambil kira sensitiviti rakyat Malaysia.

Lantaran itu, katanya, Guan Eng dan Kok Wai perlu mengambil tanggungjawab bersama Hew Kuan Yau dan bukannya tutup mulut dan mengharapkan isu ini tenggelam lenyap begitu sahaja.

“Sebagai pihak berjawatan tinggi dan demi mengubat hati rakyat dan keluarga wira-wira negara yang terkorban, bukankah lebih baik jika Tan Kok Wai DAP dan Lim Guan Eng DAP minta maaf secara terbuka dan menyatakan kekesalan yang amat sangat?

“Baik dilakukan dengan kadar segera dan bukannya tutup mulut harapkan isu ini tenggelam lenyap begitu sahaja. Ambillah tanggungjawab bersama Hew Kuan Yau. Be gentleman!,” katanya yang mengulas tindakan KDN mengharamkan komik tersebut.

Menurut KDN, kata kandungan komik itu mengandungi fakta yang salah dan unsur untuk membangkitkan sokongan dan simpati terhadap perjuangan komunis.

Kandungan penerbitan ini dilihat tidak mengambil kira sensitiviti rakyat Malaysia yang berbilang kaum dan agama serta dibimbangi boleh memecah-belahkan keharmonian dan perpaduan masyarakat.

Mereka yang mencetak, mengimport, menghasilkan, menerbit, menjual, mengeluar, menawar untuk menjual, mengedar atau ada dalam milikannya jika disabitkan, boleh dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 3 tahun atau didenda tidak melebihi RM20,000.00 atau kedua-duanya di bawah Seksyen 8(2) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast