Muhammad Faiz Hashim

KUALA LUMPUR – Penyebaran komik kontroversi ke sekolah dan institusi pengajian tinggi menunjukkan cubaan pihak tertentu untuk meracuni pemikiran generasi baharu.

Pengerusi Sekretariat NGO (NGO’S), Muhammad Faiz Hashim berkata, usaha itu dibuat bagi membolehkan pihak terbabit mendapat manfaat dalam menguasai keseluruhan pentadbiran negara yang meliputi kuasa eksekutif.

“Dalam senario politik masa kini, ada pihak cuba mengambil peluang melakukan propaganda secara terang-terangan melalui penerbitan dan pengedaran komik kontroversi berorientasikan ideologi sosialis dan komunis.

“Ini perbuatan tidak sepatutnya berlaku. Hari ini, masa kini seluruh rakyat Malaysia dapat menyaksikan pelbagai kisah dan drama siapakah dalang sebenar di sebalik kewujudan komik ini yang sudah terang lagi bersuluh,” katanya dalam kenyataan kepada media hari ini.

Beliau menjelaskan, pihaknya juga kesal dan kecewa dengan keputusan Speaker Dewan Rakyat menolak usul pembangkang berkaitan komik itu daripada dibahaskan.

“Lihatlah sendiri. Dari situ sudah cukup untuk kita simpulkan,” katanya.

Menurut Muhammad Faiz, amat malang sekiranya perkara itu dibiarkan tanpa ada usaha dan tindakan menghalang ataupun mengharamkan terus komik yang mempunyai ideologi keganasan dan songsang yang boleh menggugat keselamatan dan ketenteraman negara.

Katanya, Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Pelajaran perlu segera mengambil tindakan tegas atas pengedaran itu agar propaganda terbabit tidak merebak dan merosakkan pemikiran generasi baru.

“Jika KDN mengharamkannya, tidak mustahil pihak di sebalik kewujudan komik itu mengambil langkah lain untuk menyebarkannya. Mereka akan lakukan sehingga mencapai matlamat utamanya.

“Sebagai ibu bapa dan pendidik, kita perlu memantau aktiviti dan pengisian yang dipelajari di sekolah supaya sejarah Malaysia tidak disalah tafsir oleh generasi baru ini,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast