Mohamed Khaled Nordin

KUALA LUMPUR – Khidmat enam Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) yang menyatakan sokongan kepada Tun Dr. Mahathir Mohamad semalam, tidak diperlukan untuk membantu kempen calon pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai minggu depan.

Perkara itu dinyatakan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, yang mencadangkan semua mereka tidak perlu datang ke kawasan parlimen itu.

“Saya sokong kenyataan Presiden (Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi), dan saya cadangkan enam orang ini tak payah datang bantu calon BN di Tanjung Pia,” katanya menerusi Instagram beliau hari ini.

Di lobi Parlimen semalam, sekumpulan enam Ahli Parlimen BN menyatakan sokongan terhadap cadangan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali supaya Dr. Mahathir memegang jawatan perdana menteri selama lima tahun.

Mereka ialah Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Mastura Mohd Yazid; Ahli Parlimen Jerantut, Datuk Ahmad Nazlan Idris; Ahli Parlimen Maran, Datuk Seri Ismail Abd. Mutallib; Ahli Parlimen Tenggara, Datuk Seri Adham Baba dan Ahli Parlimen Lipis, Datuk Abdul Rahman Mohamad.

Dalam sidang media itu, mereka dilaporkan berkata, peralihan kuasa hanya akan mengakibatkan negara menjadi ‘lingkup’.

Sementara itu, Ahmad Zahid ketika ditemui wartawan berkata, sokongan barisan Ahli Parlimen itu tidak mewakili suara rasmi UMNO dan BN.

“Itu cuma pendapat mereka, bukan pendapat parti,” katanya di lobi Parlimen. -MalaysiaGazette

2 Komen

  1. Lain x tanya ketua whip BN dulu sblum nk buat sidang akhbar yang pelik2..
    Bila atok meludah balik habis terkena pada BN dan UMNO.
    PRU 15 elok lah korang semua tarik diri dari bertanding atau masuk Bersatu..

Comments are closed.