Presiden Kelab Veteran Utusan Melayu Malaysia (KVUM), Tan Sri Khalid Yunus (tengah) menunjukkan salinan dokumen Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) membabitkan proses likuidasi dan pemindahan saham dalam Utusan Melayu (Malaysia) Bhd diiringi Setiausaha Agung KVUM, Rosle Azmi (dua kanan) pada sidang media berkaitan penggulungan syarikat Utusan Melayu (M) Berhad dan hal ehwal kebajikan pekerja Utusan Melayu di Hotel De Palma, Ampang, Selangor. foto FAREEZ FADZIL, 25 OKTOBER 2019

AMPANG – Kelab Veteran Utusan Melayu Malaysia (KVUM) mendakwa penutupan operasi syarikat akhbar itu pada 10 Oktober lalu sebenarnya telah dirancang lebih awal.

Presidennya, Tan Sri Khalid Yunus berkata, ia dapat dilihat dalam tempoh bermula 23 Ogos lalu hingga 7 Oktober lalu apabila berlaku pemindahan saham milik Utusan Melayu Sdn. Bhd. secara terancang kepada syarikat-syarikat di mana pemiliknya adalah individu yang sama.

Beliau menjelaskan, KVUM memiliki semua bukti dan fakta itu serta sedia mendedahkan jika ada pihak terbabit ingin menafikannya.

“Apa yang boleh disimpulkan, Utusan Melayu memang hendak ditutup dan pengurusan baharu Utusan Melayu hanya mahukan lesen dan permit percetakan akhbar.

“Kenapa mereka tidak ambil alih satu syarikat dan hendak tutup secara sukarela serta dibuat dalam keadaan senyap?” soalnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Utusan Melayu Menangis di sini hari ini.

Khalid turut mendedahkan kronologi pemindahan saham Utusan Melayu dalam Dilof Sdn. Bhd. kepada Syarikat Aurora Mulia Sdn. Bhd. bermula 23 Ogos lalu.

Jelas beliau, Dilof adalah syarikat yang selama ini memegang lesen dan permit percetakan Utusan Melayu.

“Ironinya, nama Dilof telah ditukarkan kepada nama baru iaitu Media Mulia Sdn. Bhd. pada tarikh yang sama pelantikan Pelikuidasi dibuat iaitu pada 7 Oktober lalu.

“Menerusi Carian Syarikat menunjukkan Syarikat Media Mulia ini dimiliki oleh Syarikat Sutera Bakti Sdn. Bhd. di mana sahamnya juga dimiliki oleh Syarikat Perspective Lane (M) Sdn. Bhd..

“Selepas kami meneliti, Pengarah Syarikat Perspective Lane dimiliki keluarga Tan Sri Syed Mokhtar Al Bukhari dan anak-anak,” katanya.

Dalam pada itu, Khalid turut mencabar  Pengerusi Eksekutif Kumpulan Utusan Melayu, Datuk Abd. Aziz Sheikh Fadzir menjawab beberapa persoalan antaranya mengapa hanya selepas tiga hari pengumuman pelan baik pulih kewangan dibuat dengan menaikkan harga penjualan akhbar, saham Utusan Melayu di dalam Dilof dipindah milik kepada pemilik yang baharu.

Soalnya lagi, Abd. Aziz juga perlu menjelaskan sejak bila sebenarnya rancangan memindah milik saham Utusan Melayu di dalam Dilof.

Selain itu kata beliau, mengapa pada Ogos lalu pihak pengurusan syarikat masih memberikan keyakinan dan pengumuman dibuat susulan keyakinan diberikan dan menyebabkan para pekerja masih datang bekerja serta mendapat harapan bahawa gaji tertunggak dan lain-lain kebajikan akan terpelihara.

“Apabila saham Utusan Melayu dipindah milik pada 23 Ogos lalu, bilakah mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah dibuat dan keputusan-keputusan penting dicapai seperti pelantikan Pelikuidasi UHY Advisory iaitu tarikh pelikuidasi itu akan menyita bangunan dan lain-lain lagi memandangkan perkara-perkara yang disenyapkan ini adalah memprejudiskan hak pekerja-pekerja sedia ada?

“Mengapa pada 7 Oktober lalu ketika pengurusan tahu Pelikuidasi akan hadir dan menyita bangunan Utusan, tiada sebarang penerangan rasmi yang jelas ada di buat kepada pekerja yang masih terpinga-pinga ketika hadir pada keesokan harinya?

“Mengapa tiada sebarang penerangan diberikan tarikh-tarikh spesifik bayaran gaji kepada pekerja-pekerja yang telah bersetuju dengan tawaran Skim Pemisahan Sukarela (VSS)?” soal beliau. – MalaysiaGazette