KUALA LUMPUR – Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengesahkan kini sedang menunggu kepulangan Wan Kuzain Wan Kamal dari Amerika Syarikat untuk urusan dokumentasi.
Setiausaha Agung badan induk itu, Stuart Ramalingam menjelaskan pemain tersebut sepatutnya tidak berhadapan sebarang masalah berhubung pelepasan dari kelabnya, Sporting Kansas City dan proses dokumentasi untuk membenarkan beliau beraksi untuk pasukan negara.
Ini kerana saingan Major League Soccer (MLS) di Amerika Syarikat berakhir pada awal November ini.
Namun demikian, mengambil kira tempoh proses lebih kurang dua minggu untuk segala perkara dokumentasi kehadiran Wan Kuzain diperlukan segera untuk mengelakkan sebarang kerumitan menguruskan proses tesebut.
“Kalau dia datang lewat sangat, kemudian terus nak bermain bersama pasukan, saya rasa ia mungkin akan merumitkan keadaan dalam pasukan tetapi perkara teknikal itu kita serahkan di tangan ketua jurulatih [Datuk Ong Kim Swee],” katanya kepada Bernama di sini, semalam.
Pemain berdarah Malaysia yang berpengkalan di Amerika Syarikat itu sebelum ini dikhabarkan berminat untuk menyarung jersi pasukan negara di temasya Sukan SEA Filipina bersama skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee.
Pengendali skuad B-22 negara itu mengesahkan nama Wan Kuzain adalah antara senarai pemain yang akan dipanggil untuk menjalani latihan pusat menjelang temasya tersebut pada 4 November hadapan. – MalaysiaGazette