KUALA LUMPUR – Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA) tidak akan meletakkan calonnya dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai pada 16 November ini.
Presidennya, Datuk Ibrahim Ali berkata, PUTRA tidak mahu dilihat terburu-buru untuk meletakkan calon semata-mata mahu memperkenalkan parti itu kepada pengundi.
“Sebab itu kita tak akan sertai PRK Tanjung Piai sebab kita tak ghairah atau sekadar perkenal PUTRA kepada pengundi.
“Ini buktikan PUTRA bukan sebuah parti yang gelojoh atau ghairah nak letak calon dan tabalkan seseorang jadi wakil rakyat, tapi kita lebih kepada strategi untuk kepentingan politik Melayu Bumiputera,” katanya pada sidang media hari ini.
PRK Parlimen Tanjung Piai diadakan susulan kematian penyandangnya yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Allahyarham Datuk Dr. Md. Farid Md. Rafik pada 21 September lalu akibat komplikasi jantung.
Allahyarham Dr Md. Farid memenangi kerusi itu dengan majoriti 524 undi pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) menewaskan penyandang dari BN, Datuk Seri Wee Jeck Seng dan calon Pas, Nordin Othman.
Dalam pada itu, Ibrahim berkata, walaupun kajian selidik yang dijalankan mendapati 1,000 pengundi Melayu di Tanjung Piai teruja dengan tawaran dan perjuangan PUTRA Johor namun ia bukan syarat kukuh untuk meletakkan calon.
“Hasil kajian itu pengundi Melayu 1,000 responden ini nampaknya amat teruja dengan PUTRA atas dasar agenda perjuangan kerana lantang perjuangkan Islam Bumiputera, lebih-lebih lagi selepas pelancaran PUTRA pada 28 September lalu,” katanya.
Ibrahim bagaiamanpun berkata, PUTRA hanya akan meletakkan calonnya dalam mana-mana pilihan raya termasuk Parlimen Tanjung Piai sekiranya calon-calon yang bertanding itu majoriti dalam kalangan bukan Islam dan Melayu.
“Pada kita kerusi marginal Melayu, kalau pengundi 50-52 peratus semuanya parti politik yang bertanding meletak calon bukan Melayu, maka sudah pasti 101 peratus PUTRA akan letak calon.
“Dengan kata lain jika di Tanjung Piai calon PH daripada DAP ataupun PKR tapi bukan Melayu, BN letak calon MCA, kemudian Gerakan bertanding, tiga calon bukan Melayu, maka PUTRA akan bertanding,” katanya lagi. – MalaysiaGazette