PUTRAJAYA – Penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza membuktikan kehebatannya dalam sukan berbasikal apabila meraih tempat kedua dalam kategori 20 kilometer (km) pada Program Kayuhan Wanita 2019 hari ini.
Siti, 40, hanya mengambil masa 40 minit untuk tiba di garisan penamat dalam program yang disertai 2,000 peserta termasuk lelaki dalam kategori 30 km.
Lebih menarik, penyanyi lagu Anta Pemana itu berjaya memintaskan suaminya, Datuk Seri Khalid Mohd. Jiwa di selekoh terakhir beberapa meter sebelum garisan penamat.
“Datuk K ‘belanja’ tadi. Itu dapat potong beliau di saat-saat akhir.
“Sebenarnya berbasikal sejauh 20 km ini agak mencabar kerana Siti sudah sebulan tidak berlatih kerana sibuk dengan konsert termasuk di Adelaide, Australia baru-baru ini,” katanya.
Beliau ditemui pihak media selepas menamatkan kayuhannya dalam cuaca yang agak panas itu.
Program Kayuhan Wanita 2019 merupakan anjuran Pertubuhan Pembangunan Wanita Putrajaya (PEWARNA) dengan kerjasama
Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).
Majlis pelepasan 2,000 peserta disempurnakan oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamarudin.
Program itu diadakan bagi menyemarakkan program-program yang dijalankan di bawah Dasar Komuniti Negara yang diinisiatif oleh KPKT untuk mewujudkan persekitaran berkualiti, memperkasa aktiviti komuniti dan menggalakkkan masyarakat terlibat sama dalam perancangan pembangunan setempat.
Program Kayuhan Wanita 2019 itu berlangsung di Monumen Alaf Baru Presint 2 Putrajaya pada 26 Oktober 2019 dan terbuka semua wanita dengan jarak kayuhan sejauh 20 km dan lelaki 30 km.
Sementara itu, Siti turut memuji laluan jalan di sini yang disifatkan antara lokasi aktiviti berbasikal yang semakin popular.
Jelas beliau, apatah lagi faktor keselamatan yang terjamin kerana pengguna jalan raya lain telah prihatin dengan kehadiran penunggang berbasikal dalam kelompok ramai. – MalaysiaGazette