HANOI – Perdana Menteri Vietnam, Nguyen Xuan Phuc mengarahkan pihak berkuasa tempatan menentukan sama ada warga Vietnam adalah antara 39 mayat yang ditemui di belakang sebuah trak di Britain pada Khamis lalu.

Phuc juga mengarahkan polis melancarkan siasatan terhadap dakwaan aktiviti pemerdagangan manusia. Polis Britain berkata, sekurang-kurangnya beberapa mangsa berasal dari negara Asia Tenggara, lapor Reuters.

“Sebarang pelanggaran (undang-undang) akan ditangani,” kata Phuc dalam kenyataan yang disiarkan pada laman sesawang kerajaan. Phuc berkata, beliau mahu laporan kes tersebut daripada pihak berkuasa diserahkan pada 5 November ini.

Menteri Luar Vietnam berkata, beliau telah mengarahkan kedutaan negara itu di London membantu polis dengan menyediakan identiti mangsa.

Seorang pegawai kanan Britain berkata, polis United Kingdom mahu mendapat bantuan daripada komuniti Vietnam di Britain dan luar negara bagi mengenalpasti identiti 39 mangsa.

Ketua Detektif, Inspektor Marftin Pasmore berkata, pihaknya telah menemui ‘sangat-sangat sedikit kertas pengenalan’ pada mangsa dan berharap mengenali identiti mereka menerusi cap jari, rekod pergigian dan DNA, selain gambar daripada rakan dan ahli keluarga.

Pada awal polis berkata, mereka menyangka mangsa mungkin warga China namun sejak itu mereka tidak mahu membuat andaian kewarganegaraan mangsa sebelum polis mengenalpasti secara rasmi.

“Kita tidak tahu sebenarnya kewarganegaraan secara individu. Bagaimanapun kini saya akan memberi tumpuan dan berhubung sebanyak mungkin dengan masyarakat Vietnam,” kata Pasmore.

Penduduk di perkampungan tengah Vietnam berkata, mereka khuatir rakan-rakan dan ahli keluarga masing-masing telah pergi ke Britain merupakan mayat yang ditemui di sebuah taman perindustrian, kira-kira 32 kilometer di timur London.

Pemandu trak, 25, yang berasal dari Ireland Utara telah ditahan kerana disyaki melakukan pembunuhan dan tiga individu turut ditahan kerana disyaki membunuh dan melakukan pemerdagangan manusia.

Semalam, polis Ireland Utara berkata, mereka telah menahan individu kelima yang mempunyai kaitan dalam siasatan yang dijalankan itu. – Agensi