Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada Program Wacana Ilmiah Masa Depan Budaya Ilmu Dalam Peradaban Nusantara di Institut Antarabangsa Tamadun Islam dan Dunia Melayu (ISTAC), Universiti Islam Antarabangsa, Kuala Lumpur. foto NOOREEZA HASHIM, 27 OKTOBER 2019.

KUALA LUMPUR – Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menafikan laporan media bahawa partinya sudah menerima keahlian bekas Menteri UMNO, Datuk Seri Salleh Said Keruak.

Menurut beliau, proses untuk menilai permohohan bekas Ketua Menteri Sabah itu masih berjalan dan belum ada apa-apa keputusan dibuat.

“Belum, ada proses yang masih berjalan,” katanya kepada media selepas menghadiri Wacana Ilmiah Masa Depan Budaya Ilmu dalam Peradaban Nusantara di Institut Antarabangsa Tamadun Islam dan Dunia Melayu (ISTAC), Universiti Islam Antarabangsa (UIA).

Semalam, Salleh dilaporkan telah diterima masuk oleh PKR Sabah.

Laporan memetik sumber itu berkata, penyertaan Salleh akan diumumkan pada Kongres PKR negeri itu, esok.

Salleh Said Keruak

Mengulas lanjut, Anwar berkata, sekiranya PKR Sabah mengambil keputusan untuk menerima Salleh Keruak, ia akan tetap dibincangkan dalam mesyuarat di peringkat nasional.

“Kalau PKR Sabah setuju, dia bawa ke PKR Pusat dan akan mesyuarat dulu. Kita belum putuskan.

“Kita ambil keputusan dan biasanya mereka akan pendapat cabang dan negeri,” katanya lagi.

SEmalam, Anwar berkata, parti itu belum lagi membuat keputusan ke atas permohonan Salleh.

“Belum dibawa (untuk kelulusan). (PKR) bincang tapi kita selalu tanya cabang, negeri, ada yang setuju, ada juga yang bagi pandangan tetapi kita dengar semua,” katanya.

Jumaat lalu, PKR Sabah mengalu-alukan kemasukan Salleh Keruak

Pengerusinya, Christina Liew berkata, Salleh Keruak diterima masuk ke dalam parti itu jika sanggup mengenepikan prinsip UMNO.

Imej tangkap layar menunjukkan kelulusan permohonan keahlian atas talian Salleh tersebar sejak minggu lalu.

Imej menunjukkan status “Diluluskan” itu turut memaparkan nombor keahlian yang didakwa didaftarkan pada 25 Ogos. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast