Dr Mohd Khairuddin Aman Razali
Dr Mohd Khairuddin Aman Razali

KUALA LUMPUR – Pas mencabar Khalid Abdul Samad membuktikan dakwaannya parti itu selepas era Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mampu menghasilkan sebuah pemerintahan bersifat kuku besi dan ekstremis.

Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Datuk Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, beliau mahu Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (PAN) itu menyenaraikan apa yang Pas sudah haramkan di Kelantan dan Terengganu selepas pemerintahan Nik Abdul Aziz.

Katanya, jika Khalid gagal berbuat demikian, maknanya beliau adalah seorang pembohong, selain bermulut lancang apabila mencerca Pas yang mendesak supaya DAP diharamkan.

“Lancang sungguh mulut Khalid Samad mencerca Pas bila Pas mendesak supaya DAP diharamkan.

“Begitu juga pemimpin lain dari DAP dan PKR, termasuk Lim Kit Siang dan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengkritik Pas kerana kononnya membuat desakan yang tidak selaras dengan amalan demokrasi dan undang-undang yang ada dalam negara dan kerana kononnya masih berpolitik cara lama.

“Tiada yang salah dalam desakan supaya DAP diharamkan. Amalan demokrasi memberi kuasa kepada parti yang menang dalam pilihan raya untuk memerintah dan menguatkuasakan undang-undang,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Menurut Dr. Mohd Khairuddin, Pakatan harapan (PH) menang dalam Pilihan raya Umum ke-14 (PRU14) yang lalu dan melantik Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Menteri Dalam Negeri.

Oleh itu, kata beliau, sebagaimana tindakan Muhyiddin mengharamkan komik “Inisiatif Jalur dan Jalan Meraih Manfaat Bersama” mengikut Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984, maka desakan supaya DAP diharamkan juga adalah selaras dengan amalan demokrasi dan undang-undang.

Malah, jika PH berpegang kepada kedaulatan undang-undang sekali pun, menjadi kewajipan untuk kerajaan mengharamkan DAP.

“Pengharaman komik dibuat mengikut undang-undang kerana ia cuba mempromosikan ideologi komunisme dan sosialisme dan kerana ia boleh memudaratkan ketenteraman awam dan keselamatan.

“Kerana yang terlibat dalam penerbitan komik ini adalah pemimpin tertinggi DAP, termasuk Tan Kok Wai dan Lim Guan Eng, maka pengharaman komik sewajibnya membawa kepada pengharaman DAP,” katanya.

Beliau berkata, desakan pengharaman DAP dibuat berdasarkan undang-undang, iaitu peruntukan Seksyen 5(1), Seksyen 13(1)(c)(ii) atau Seksyen 13(1)(c)(iii) Akta Pertubuhan.

Jadi tegasnya, di manakah kuku besi dan ekstremisnya Pas sebagaimana didakwa oleh Khalid?

“Sebaliknya yang dilihat ekstrimis sekarang ialah PAN dengan tersebarnya begitu banyak video mengenai insiden tumbuk menumbuk dan tendang menendang sesama ahli kerana pemilihan parti yang bersifat kuku besi,” katanya. – MalaysiaGazette