Dr Kamarul Zaman Yusoff

KUALA LUMPUR – Ahli Jawatankuasa Pusat Parti Amanah Negara (Amanah), Hanipa Maidin ditempelak ekoran kenyataan meminta Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk bersara selagi masih mempunyai ‘kewarasan’.

Menurut Penganalisis Politik, Dr Kamarulzaman Yusof, jelas sekali Ahli Parlimen Sepang itu mudah lupa akan perihal yang pernah diungkapkan beliau di Muktamar Tahunan Pas Kali Ke-50 pada 2004 lalu.

“Hanipa Maidin sudah lupa bahawa dalam Muktamar Tahunan Pas Kali Ke-50 di Pusat Tarbiyyah Islamiyyah Kelantan (PUTIK) pada 27, 28 dan 29 Ogos 2004, Dewan Pemuda Pas Pusat yang Hanipa Maidin adalah salah seorang EXCO-nya telah mengemukakan usul.

“Antaranya, mendesak Pas Pusat bergabung usaha dengan badan-badan bukan kerajaan (NGO) menggerakkan kempen mempertahankan hak istimewa orang Melayu secara bersepadu.

“Memberi amaran kepada mana-mana pihak jangan mempersoalkan kontrak sosial yang telah termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dr Kamarul mengulas mengenai kenyataan Hanipa semalam yang jelas meminta Hadi Awang bersara.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu berkata, permintaan itu dibuat kerana Abdul Hadi sering mengajar ahli Pas untuk tidak mengamalkan ‘assobiyah’, tetapi tidak memegang pada ajarannya sendiri.

Hanipa membuat kenyataan demikian dalam catatan di laman Facebooknya, dengan memuatnaik petikan laporan portal bertajuk Kesabaran kami ada had, henti tuduh orang Melayu ‘rasis’, kata Abdul Hadi.

“Maaf lah jika saya kata. Plse lah bersara.. Dah makin tak ketahuan YB. Resign so long your sanity is still ok. Dulu YB yang ajar kami semua tak boleh عصبية . Kok sekarang tebalnya ‘ asobiyyahnya YB,” tulisnya di Facebook beliau. -MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.